FIFA gantung Persekutuan Bola Sepak India

- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

ZURICH: Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memutuskan untuk menggantung Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) berkuat kuasa serta-merta dan keputusan itu telah diambil sebulat suara oleh Biro Majlis FIFA.

Menurut  kenyataan media rasmi yang dikeluarkan oleh FIFA, Biro Majlis FIFA telah sebulat suara memutuskan untuk menggantung Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) berkuat kuasa serta-merta kerana pengaruh tidak wajar daripada pihak ketiga, yang merupakan pelanggaran serius statut FIFA, lapor NDTV Sports.

- Advertisement -

FIFA juga sedang menilai langkah seterusnya berhubung kejohanan itu dan akan merujuk perkara itu kepada Biro Majlis jika dan apabila perlu.

“FIFA sentiasa berhubung yang membina dengan Kementerian Hal Ehwal Belia dan Sukan di India dan berharap keputusan positif kes itu masih boleh dicapai,” kata kenyataan itu.

Sementara Khaleej Times melaporkan, FIFA dalam satu kenyataan mengatakan bahawa  penggantungan itu akan kekal sehingga AIFF mengawal sepenuhnya urusan hariannya. 

Terdahulu, AIFF berada dalam keadaan kucar-kacir dan dikendalikan oleh pentadbir selepas bekas ketua pasukan Praful Patel kekal memegang jawatan melebihi tempohnya tanpa pemilihan baharu, yang mahkamah putuskan sebagai  tidak sah.

India dijadualkan menjadi tuan rumah Piala Dunia Wanita B-17 dari 11-30 Oktober. Kejohanan 2020 di India dibatalkan dan kemudian ditangguhkan kerana pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 16/8/2022.

- Advertisement -