Yusni hargai usaha KASA lestari sungai bantu penduduk

- Advertisement -

Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD

KEPALA BATAS:
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah menzahirkan penghargaan atas usaha Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man melestarikan sungai untuk kepentingan penduduk.

Mohd Yusni berkata, usaha tersebut membabitkan cadangan pembangunan projek Denai Sungai Kebangsaan (DSK) dekat Lembangan Sungai Muda di Penaga yang bakal menyumbang kepada sektor pelancongan dan membantu ekonomi penduduk setempat.

Selain itu katanya, aktiviti jeti penambang yang menjadi warisan penduduk dapat dipulihara sebagai sejarah di daerah itu.

- Advertisement -

Mengulas lanjut, katanya perkara itu dalam perancangan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) selepas Tuan Ibrahim melawat tapak cadangan terbabit, semalam.

“Alhamdulillah, hari ini saya menerima tetamu yang istimewa iaitu Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), YBM Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang turun bersama agensi-agensi di bawah kementerian beliau,” ujarnya dalam catatan di Facebooknya, semalam.

Menurutnya, antara wakil Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) yang turut serta semalam ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Lembangan Sungai JPS Malaysia, Ir. Dr Wong Chee Loong, Timbalan Pengarah JPS Pulau Pinang, Ooi Soon Lee, Jurutera Daerah JPS SPU, Ir. Mohamad Adhar Yahaya dan Penolong pengarah Bahagian sungai JPS Pulau Pinang, Suriani Lazim.

Tambahnya, program itu juga turut disertai oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Muhammad Fauzi Yusuf bersama ahli jawatankuasa negeri dan pimpinan PAS kawasan.

Mohd Yusni berharap dengan kerjasama daripada KASA dan penglibatan pertubuhan Lestari Khazanah Pulau Pinang perancangan projek berkenaan berjalan lancar.

Sementara itu, KASA menerusi Facebooknya menyatakan, lokasi berkenaan berpotensi besar untuk dimajukan terutama dari segi kegiatan perikanan dan eko-pelancongan.

“Pembangunan denai yang dicadangkan adalah termasuk menambah baik jalan batu denai menjadi denai berturap sepanjang 3km dari Permatang Bendahari hingga ke Pasar Bisik, Penaga selain fasiliti-fasiliti rekreasi yang lain.

“Semoga cadangan pembangunan denai ini dapat dilaksanakan dengan kerjasama semua untuk bersama-sama mengembalikan keindahan sungai, mengawal pencemaran sumber air dengan melestarikan alam sekitar sekali gus memajukan sosioekonomi setempat. Insya Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/8/2022

- Advertisement -