Projek LRA tingkat kadar liputan bekalan air Kelantan

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kadar liputan bekalan air di Kelantan dijangka dapat ditingkatkan daripada 71.7 peratus kepada 80 peratus dengan peningkatan kapasiti pengeluaran air terawat keseluruhan sebanyak 40 juta liter sehari (JLH) apabila empat projek Loji Rawatan Air (LRA) beroperasi sepenuhnya.

Projek berkenaan ialah LRA Kampung Telok berkapasiti 30 JLH dengan kos keseluruhan sebanyak RM48.7 juta secara pinjaman.

- Advertisement -

Tiga projek lain, LRA Mini Ketereh berkapasiti 8 JLH dengan kos RM10 juta yang siap pada Mei tahun ini; LRA Telok Mesira, Bachok, berkapasiti 3 JLH dengan kos RM2.7 juta yang dijangka siap bulan ini dan LRA Mini Jelawat berkapasiti 4 JLH yang dijangka siap November tahun ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata peningkatan kadar rizab margin air terawat adalah antara fokus kerajaan untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan.

Katanya, fokus lain ialah penerokaan sumber air baharu, menangani isu kehilangan air, perluasan program penggantian dan pemasangan paip air dan sistem retikulasi serta pemodenan sistem teknologi maklumat.

“Pogram Pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) Kebangsaan melalui Pendekatan 1 dilaksanakan dengan kos keseluruhan RM69.95 juta secara geran. Pakej 1 bermula pada 20 Februari 2020 dan dijangka siap pada 4 Oktober tahun ini, manakala Pakej 2 bermula 23 November 2020 dan dijangka siap 23 November tahun depan.

“Usaha lain ialah pembinaan rintangan air rendah (low weir) di Sungai Pahi, Kuala Krai dan Sungai Pengkalan Datu Kota Bharu dengan kos keseluruhan sebanyak RM35 juta secara geran dan kerja dijangka bermula pada Mac 2023 dan siap Mac 2025,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Mohd Apandi Mohamad yang meminta Menteri Alam Sekitar dan Air, menyatakan langkah-langkah jangka sederhana (dalam tempoh lima tahun) untuk menyelesaikan isu air di Kelantan.

Senator Mohd Apandi Mohamad

Tuan Ibrahim berkata, kerajaan juga melaksanakan Kajian Pembangunan Sumber Air Negeri Kelantan (Fasa 2) dengan kos keseluruhan RM15 juta secara geran.

Dari aspek intervensi kawal selia, katanya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menubuhkan Jawatankuasa Khas ‘Task Force‘ Isu Bekalan Air di Kelantan bermula November 2021 yang bertanggungjawab memantau dan menyelaras projek bekalan air di Kelantan.

Sementara itu, katanya peruntukan bagi pembangunan aset bekalan air di Kelantan terdiri daripada empat sumber utama.

Beliau berkata, sumber berkenaan ialah RM664.8 juta oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di bawah OP4 (2021-2023), RM49 juta di bawah peruntukan Kerajaan Negeri, RM124 juta peruntukan pembangunan di bawah RP2 RMKe-12; dan RM381,000 di bawah inisiatif Projek Wakaf Air melibatkan 8 buah projek. – HARAKAHDAILY 16/8/22

- Advertisement -