RM6.4 bilion peruntukan projek infrastruktur di Kelantan

TUMPAT: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.4 bilion setakat ini membabitkan pelaksanaan 54 projek merangkumi infrastruktur dan pembangunan di Negeri Kelantan.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata peruntukan berkenaan termasuk projek Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dan projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) yang akan memberi impak besar kepada rakyat.

“Projek-projek menerusi peruntukan ini dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan juga kementerian lain yang berkaitan. Dari segi pelaksanaan projek, ada antara projek berkenaan sedang giat dilaksanakan dan ada juga yang hampir siap.

“Dari segi peratusan pelaksanaan setiap projek di Kelantan ketika ini adalah berbeza, namun jika mengikut dari segi perbelanjaan peringkat nasional untuk Rancangan Malaysia Ke-12 ia telah mencapai sebanyak 56 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Projek Jejambat Wakaf Bharu Sempena Program Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 di Tapak Projek Jejambat Wakaf Bharu, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Datuk Mohd Suhaimi Hassan, Ketua Setiausaha KKR Datuk Wira Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman.

Mengulas mengenai Projek Jejambat Wakaf Bharu, Fadillah berkata projek berkenaan telah bermula pada Feb 2018 membabitkan nilai kos keseluruhan RM105.5 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung November tahun ini.

Beliau berkata projek berkenaan melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 1.56 kilometer (km) bermula di KM4.25 dari jalan Kota Bharu ke Pengkalan Kubor FT134 dan berakhir di KM6.06.

“Status semasa telah mencecah sebanyak 89.38 peratus pelaksanaan. Bagaimanapun, kontraktor yang terbabit bagi projek ini akan memberi komitmen untuk menyiapkan projek ini pada akhir November.

“Apabila siap kelak, trafik akan lebih lancar dari arah Kota Bharu ke Pengkalan Kubor, sekali gus menjadikan laluan lebih selesa serta mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi penduduk setempat,” katanya. – BERNAMA

Advertisement