Ekonomi Gig ancam pembangunan ekologi pendidikan generasi muda

- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Isu pelajar yang tercicir dari segi akademik di Malaysia dikaitkan dengan sistem ekonomi Gig yang dikhuatiri turut menjadi ancaman kepada pembangunan ekologi pendidikan dalam kalangan generasi muda hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata demikian ketika mengulas mengenai isu pelajar tercicir di negara ini.

- Advertisement -

Ia adalah susulan laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia bahawa sebanyak 72.1 peratus rakyat di Malaysia telah memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut Mohamed Fadzli, angka tersebut menunjukkan kebimbangan yang perlu diatasi oleh semua pihak termasuk ibu bapa, masyarakat dan pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) dalam usaha memastikan jumlah keciciran pelajar tidak bertambah dan menjadi lebih buruk pada masa akan datang.

“Kita lihat, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia juga menyatakan terdapat  5.8 peratus daripada kira-kira 32 juta populasi rakyat Malaysia yang tidak bersekolah atau tercicir daripada sistem pendidikan negara pada 2019.  

“Sementara Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS)  Bumiputera Malaysia (PKIBM) telah menyatakan bahawa purata tahunan kemasukan pelajar ke institut pengajian tinggi (IPT) baik daripada institusi awam mahu pun swasta masih belum mencapai 50 peratus,” ujarnya. 

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat berkata, beberapa faktor dikesan dan telah menyumbang kepada masalah berkenaan.

Antaranya kemelut kewangan ibu bapa terutama golongan B40 yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan menjadi punca utama pelajar terpaksa berhenti sekolah.

Isu kemiskinan yang dihadapi terutamanya golongan B40, menyebabkan segelintir anak-anak yang terkesan ini akan menamatkan persekolahan awal dan terus terjun ke alam pekerjaan untuk membantu keluarga mereka mencari pendapatan.

Tambahnya, kewujudan sistem ekonomi Gig juga menjadi ancaman kepada pembangunan ekologi pendidikan dalam kalangan generasi muda hari ini.

Ekonomi gig adalah salah satu pilihan pekerjaan berasaskan kontrak jangka pendek atau dilakukan secara bebas (freelance) yang disokong dengan menggunakan aplikasi teknologi.

“Generasi Z yang melihat peluang yang lebih cepat dan mudah untuk mendapatkan wang ringgit lebih memilih untuk bekerja berbanding menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi yang tidak menjamin peluang kerjaya dan janaan kewangan kepada mereka. 

“Selain itu, sistem pendidikan di Malaysia ini yang masih lagi berteraskan peperiksaan menyebabkan ada sebahagian murid yang hilang minat untuk belajar,” jelas beliau.  

Mohamed Fadzli turut memberitahu, isu keciciran pelajar di negara ini perlu ditangani dengan pendekatan secara bersepadu antara pelajar, ibu bapa, keluarga, komuniti dan kerajaan. 

Konsep pembelajaran sepanjang hayat perlu dijadikan asas dalam pembangunan generasi muda. Antara pendekatan yang boleh dilakukan ialah:

Meningkatkan dan memperluaskan latihan kemahiran kepada rakyat untuk mereka memperolehi pengetahuan, kemahiran dan keberdayaan dalam mendepani cabaran semasa. 

Meluaskan peluang pembelajaran sepanjang hayat melalui Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu – Accreditation of Prior Experiential Learning/APEL (APEL A, C dan Q) di institusi pengajian tinggi.  

Semua institusi pengajian perlu menerima akses pelajar ke semua peringkat pengajian melalui kelayakan APEL. Pihak Kementerian Pengajian Tinggi disyorkan memudahcara permohonan untuk mendapatkan pengiktirafan dan kelayakan APEL.

Institusi pengajian tinggi juga disarankan perlu membangunkan sistem pembelajaran yang lebih fleksibel dengan memperkenalkan sistem berasaskan modular di semua peringkat pengajian. 

Sementara, bagi masyarakat beragama Islam, pendidikan Islam dan fardu ain boleh diperkenalkan secara berstruktur di masjid dan pusat komuniti dengan kerjasama pihak berkuasa agama negeri.

Seterusnya mereka ini akan diberikan pengiktirafan melalui sijil kemahiran mengikut tahap-tahap yang sesuai atau Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). 

Beliau juga turut menyarankan para pelajar yang agak tercicir dalam akademik diberikan peluang dalam bidang kemahiran seawal usia 16 tahun untuk mengikuti latihan kemahiran yang diiktiraf melalui SLDN.

Tambahnya lagi, peluang menganjurkan kursus-kursus kemahiran perlu diperluaskan lagi kepada pemain industri dan institusi kemasyarakatan dengan bantuan dari pihak kerajaan, dengan memberi insentif pelepasan cukai kepada syarikat yang mengambil perantis melalui SLDN. – HARAKAHDAILY 02/08/2022

- Advertisement -