Pelancaran kapal adalah tradisi dan praktis biasa tentera laut

- Advertisement -

SAYA tahu visuals pelancaran kapal LCS di Lumut pada tahun 2017 menjadi perhatian semula sejak akhir-akhir ini. Saya sebagai Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia turut hadir di upacara tersebut.

Maklum balas orang awam mengenai di mana kapal, kenapa lancar kalau masih tidak siap?- ini saya boleh faham dan hormati.

Cuma, apabila fitnah seperti ini diviralkan, saya terpanggil untuk membetulkan persepsi negatif bagi melindungi maruah dan nama baik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang saya sayangi. Penting untuk saya beritahu fakta sebenar supaya orang awam tidak terus keliru akibat kenyataan sesetengah pihak yang bersifat populis dan politiking.

Pelancaran dan penamaan sesebuah kapal perang sebelum ia siap sepenuhnya merupakan tradisi serta praktis TLDM sejak sekian lama. Bukan pertama kali di Lumut pada tahun 2017. Malah, ini juga amalan biasa di negara-negara lain.

Sebab itu, perkara ini juga disebut oleh Kepten (B) Ir. Azhar bin Jumaat dalam sesi menghadap PAC pada 11 Disember 2021 lalu. Saya petik semula penjelasan beliau:

“Daripada segi tradisi, we call launching dengan naming ini hanya melibatkan satu aktiviti tradisi yang melibatkan kapal-kapal perang sahaja. Justeru, untuk aktiviti launching dan naming itu, daripada segi tradisi dan praktis itu, memang ia dipraktikkan sebelum ini juga.”

Ini juga penjelasan beliau:

“Mengambil peluang aktiviti launching daripada segi kejuruteraan teknikal ini dan juga dilaksanakan secara bersama dipanggil upacara penamaan itu, Yang Berhormat. Ia adalah memang satu tradisi navy yang telah dilaksanakan sejak yang lepas-lepas.”

Sebagai contoh praktis di negara lain – semasa pelancaran kapal LCS yang dibina oleh Naval Group untuk Kerajaan UAE di Perancis – kapal tersebut juga belum siap sepenuhnya.

Jadi tuduhan kononnya pelancaran LCS di Lumut pada tahun 2017 dilaksanakan untuk tipu dan kelirukan orang ramai, tidak benar.

Malah, saya perlu beritahu orang ramai bahawa yang dilancarkan di Lumut ketika itu ialah kapal LCS 1 sebenar yang sedang dalam proses pembinaan, bukan dummy. Ini termasuk ‘mast’ yang dikhabarkan palsu.

Semua ini turut dijelaskan semasa sesi PAC sebelum ini. Jadi janganlah ada pihak sengaja timbulkan isu demi kepentingan sendiri sehingga sanggup kelirukan orang ramai.

LAKSAMANA (B) TAN SRI DATO SERI PANGLIMA DR 
AHMAD KAMARULZAMAN HJ AHMAD BADARUDDIN
Panglima Tentera Laut Ke-16 – HARAKAHDAILY 10/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -