KL bandar raya No.3 ‘overworked’ di dunia, Dubai No. 1

Oleh ZULHAIDI MANSOR

NEW YORK: Kuala Lumpur disenaraikan sebagai  bandar raya ketiga di dunia dengan penduduk yang paling banyak menghabiskan masa untuk bekerja (overworked).

Menurut kajian terbaharu oleh Kisi, sebuah syarikat penyelesaian keselamatan Amerika Syarikat, berjudul 2022 Work–Life Balance Index, Kuala Lumpur menduduki tempat ketiga di dunia pada tahun 2022 – tahap  tertinggi pernah berada dalam senarai overworked sejak permulaan kajian tiga tahun lalu, di belakang Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) di tempat pertama, dan Hong Kong di tempat kedua. 

Advertisement

Singapura dan Montevideo, Uruguay masing-masing di tempat keempat dan kelima dalam senarai tersebut.

Sebelum ini, Kajian Kisi melaporkan Kuala lumpur menduduki tempat keempat pada 2019 dan 2020, kelapan pada 2021 dalam senarai tersebut.

Laman analisis Kisi turut menyenaraikan bandar raya-bandar raya terbaik dalam keseimbangan kehidupan dengan kerjaya, dan sebanyak 100 buah bandar raya tersenarai dalam laporan tersebut berdasarkan beberapa kriteria termasuklah  intensiti kerja, kebolehdiaman bandar, kualiti penjagaan kesihatan, kos sara hidup dan tempoh cuti.

Laporan itu turut menyenaraikan Oslo, Norway sebagai bandar raya terbaik dari segi keseimbangan kehidupan dan kerjaya dengan menerima skor markah sebanyak 100 peratus. 

Ia diikuti oleh Bern, Switzerland (99.46 peratus), Helsinki, Finland (99.24 peratus), Zurich, Switzerland (96.33 peratus) dan Copenhagen, Denmark (96.21 peratus). – HARAKAHDAILY 10/8/2022.