Sedaya upaya pastikan LCS dapat disiapkan

- Advertisement -

HARI ini saya menjawab di Parlimen mengenai isu LCS di mana saya konsisten dengan jawapan saya dua hari lepas susulan laporan yang dikeluarkan PAC.

Ini dengan matlamat agar kepentingan Tentera Laut Diraja Malaysia dapat dipelihara, wang awam yang telah dibelanjakan dipastikan ada pulangannya dan paling utama keselamatan dan kedaulatan tanah air dapat dipelihara.

Berhubung salah laku dan ketirisan, saya sekali lagi tegaskan; siapa jua yang didapati bersalah tetap salah. SPRM juga telah keluarkan kenyataan bahawa siasatan terperinci sedang dibuat dan sedang dalam peringkat akhir. 

PAC juga telah membuat siasatan mereka dan menerbitkan laporan. Saya tiada kepentingan dalam hal ini. Saya serah kepada pihak berkuasa namun pendirian saya teguh, yang salah harus dihadapkan ke muka pengadilan.

Mengenai projek LCS, Kabinet telah putuskan bahawa ia akan diteruskan pada bulan April 2022. Ini selari dengan kenyataan TLDM dua hari lepas bahawa mereka amat perlukan LCS bagi memelihara kedaulatan negara dan TLDM akui bahawa keputusan meneruskan projek LCS adalah tepat.

Saya juga ditanya mengenai perancangan ke hadapan; ini telah diputuskan Kabinet pada April lalu bahawa tempoh 6 bulan diberikan untuk proses mobilisasi dilakukan. Ketika ini rundingan dengan pihak Vendor, OEM dan perbankan sedang giat dilaksanakan. Dari sinilah, langkah seterusnya akan ditetapkan.

Fokus sekarang ialah untuk menguruskan sedaya upaya demi memastikan LCS ini dapat disiapkan dan segala isu berkaitannya dapat diselesaikan.

YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Menteri Kanan Pertahanan – HARAKAHDAILY 8/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -