Pemuda PAS Perak seru anak muda pimpin kemajuan

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Budaya ‘blame game’ atau saling salah menyalah di antara satu sama lain mesti dihentikan, sebaliknya peluang dan ruang untuk memajukan diri terbentang luas mesti direbut.

Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Hafez Sabri berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Ketua Pemuda dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Kali Ke-39 di sini, semalam.

“Dunia hari ini tidak lagi boleh bersikap menyalahkan orang lain sedangkan masa terus berjalan pantas meninggalkan kita. 

“Sebaliknya, kita harus mengubah fikiran dengan saling memberi manfaat serta mengenalpasti jalan penyelesaian atau solusi buat anak muda.

“Khususnya yang melibatkan mereka yang dihimpit dengan masalah ekonomi dan kos sara hidup yang makin meningkat,” jelasnya.

Seru beliau, Pemuda PAS mestilah proaktif memimpin negeri dan negara di samping lebih cakna terhadap keperluan anak muda.

“Sebagai contoh, isu berkaitan peluang pekerjaan buat anak muda dan keperluan untuk mengekalkan kepakaran anak muda Perak untuk terus berkhidmat membangunkan negeri Perak dengan lebih baik di masa hadapan sangat perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Selain itu, kita juga mengambil cakna isu kos sara hidup khususnya yang melibatkan golongan pertengahan yang baru memulakan kerjaya dan kehidupan berkeluarga.

“Isu lain seperti kos pembiayaan IPT, kos bagi mendapat perkhidmatan kesihatan, kenaikan harga barangan asas, membanteras rasuah dan salah laku, juga perlu diberi perhatian. 

“Kerana ini dapat menganggu gugat keharmonian rakyat keseluruhannya serta boleh memberi impak negatif kepada ekonomi negara jika tidak ditangani dengan jitu,” ujarnya lagi.

Justeru, beliau menegaskan Pemuda PAS hendaklah agresif menyantuni golongan muda dengan sentiasa bersikap terbuka kerana PAS bukan eksklusif untuk kelompok tertentu sahaja.

Bahkan Pemuda PAS katanya, perlu duduk bersama menyelami denyut nadi kehidupan anak muda di samping menjadi penggerak utama pembangunan ekonomi negara yang sewajarnya diberi perhatian ketika ini.

“Antara tindakan yang wajar diambil ialah; memberi insentif dan bimbingan kepada anak muda sebagai usahawan berkemahiran tinggi, menggalakkan pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan inovasi teknologi terkini.

“(Juga) mewujudkan mekanisma gaji dan ganjaran yang setimpal dan mempersiap ekosistem ekonomi yang dapat menerima dan mengaplikasi revolusi industri 4.0.” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 8/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -