Skandal LCS: Penyelesaian perlu telus rentas kepentingan politik

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Kelantan memandang serius pendedahan yang dibangkitkan oleh Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dalam Kenyataan Media Ketua Pemuda PAS Pusat pada 6 Ogos 2022 berkaitan saranan Skandal LCS; Heret Pengkhianat Sebenar Ke Mahkamah. Ia termasuk cubaan beliau sebanyak 4 kali membangkit isu ini di Dewan Rakyat sejak 2019.

Justeru, saya beranggapan isu ini perlu disantuni secara telus, merentasi kepentingan politik kepartian, apa lagi melibatkan individu-individu berpengaruh. Skandal yang telah menelan bilion ringgit wang kerajaan tidak seharusnya didiamkan. Keadilan perlu ditegakkan dan kebenaran seharusnya menjadi kunci kepada penyelesaian.

Walau bagaimanapun saya juga percaya isu ini telah melalui prosedur sepatutnya melalui Laporan Ketua Audit Negara pada 2019. Isu ini dilaporkan dalam Jawatankuasa Khas Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang kemudiannya dibentang pada PAC.

Perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua, Littoral Combatant Ship atau LCS bagi kegunaan TLDM di bawah MINDEF yang dibuat rundingan terus dengan nilai kontrak berjumlaj RM9.128 bilion melibatkan 6 buah kapal. Namun sehingga hari ini tiada satu pun kapal yang siap tetapi telah menelan belanja kerajaan sebanyak RM6.083 bilion, termasuk kewujudan salah guna kuasa.

Klausa salah guna kuasa inilah yang sepatutnya disiasat dengan mengheret pengkhianat sebenar wang kerajaan ke mahkamah dengan telus merentasi kepentingan politik kepartian.

Salam hormat.

MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
10 Muharam 1444H / 8 Ogos 2022 – HARAKAHDAILY 8/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -