Bank Susu selari usaha wujudkan Keluarga Malaysia

PUSAT Susu Bonda Halimatussadia sebagai ‘Bank Susu’ patuh syariah merupakan satu lagi inisiatif penting dan bersejarah yang sangat terpuji lagi perlu disokong bersama oleh seluruh ahli Keluarga Malaysia.

Difahamkan ia ditubuhkan dari penyelidikan meluas termasuk mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif bagi mematuhi Maqasid Syariah terutama dalam memelihara keturunan.

Menariknya ia tercetus dari ibrah bonda susuan Nabi Muhammad S.A.W dan melibatkan bersama antara pakar-pakar di bidang agama dan perubatan serta pelbagai proses yang melibatkan penggunaan teknologi masa kini.

Hebatnya, usaha besar ini bukan sahaja akan memenuhi aspek kebajikan terutama membantu para ibu yang kekurangan susu badan, tetapi juga ke atas perkembangan atau tumbesaran bayi untuk mendapat gizi terpenting ini.

Malah, ia juga satu bentuk sumbangan daripada ibu-ibu ‘berkemampuan’ yakni memiliki susu badan yang banyak untuk meraih pahala, sekali gus membina hubungan persaudaraan dan kasih sayang dengan keluarga lain.

Melalui usaha positif pusat ini nanti akan memberi keyakinan kepada para ibu bapa untuk memiliki zuriat tanpa bimbang bebanan penyusuan hingga tercapai kebanggaan Rasulullah S.A.W memiliki umat yang ramai.

Dari idea hebat berpedomankan sunnah ini juga diharap bakal mencurah berkat daripada Allah S.W.T dengan harapan akan terbentuk masyarakat yang sentiasa taat dan patuh kepada ajaran Islam.

Semoga ia disokong oleh semua pihak untuk menjayakannya.

“Islam Menyatukan Ummah”
“Islam Memimpin Wanita Sejahtera”

USTAZAH SALAMIAH MOHD NOR
Naib Ketua 
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 27/7/2022

Advertisement