Iklan kosmetik perlu patuh peraturan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Tindakan regulatori seperti amaran iklan dan pembatalan notifikasi kosmetik akan diambil jika kosmetik didapati diiklankan dengan tuntutan perubatan atau tuntutan yang melampaui skop takrifan kosmetik.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali, berkata pengeluar kosmetik tertakluk kepada Garis Panduan Pengiklanan Kosmetik.

- Advertisement -

“Jika penjualan melibatkan orang profesional seperti doktor, maklumat akan disalurkan kepada badan profesional yang mengawal selia amalan doktor untuk tindakan selanjutnya,” katanya menjawab soalan lisan Sabri Azit (PAS-Jerai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sabri meminta Menteri Kesihatan menyatakan apakah tindakan pemantauan yang dibuat bagi menangani doktor media sosial yang berleluasa melariskan jualan kosmetik hingga menyebabkan kesan sampingan kepada pengguna.

Sementara itu Dr Noor Azmi berkata, sebanyak 104 kosmetik telah dibatalkan status notifikasi kerana membuat tuntutan perubatan atau tuntutan yang melampaui skop takrifan kosmetik sejak 2021 hingga Jun lalu.

Pada tempoh yang sama, katanya sebanyak 283 amaran iklan dikeluarkan kepada syarikat pemegang notifikasi kosmetik kerana membuat tuntutan yang tidak mematuhi garis panduan kosmetik.

“Tindakan berkenaan adalah hasil pemantauan terhadap 1,775 iklan kosmetik bernotifikasi kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Sementara itu, katanya KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi menerima sebanyak 86 aduan mengenai penjualan kosmetik tidak bernotifikasi secara dalam talian sepanjang tempoh yang sama.

Berdasarkan pengesahan aduan yang dijalankan, katanya sebanyak 444 premis telah diserbu dengan nilai rampasan berjumlah RM4,338,629.

Timbalan Menteri Kesihatan berkata, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi juga meningkatkan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan melibatkan pengiklanan dan penjualan kosmetik secara dalam talian.

Sejak tahun 2020, katanya sebanyak 714 iklan kosmetik tidak bernotifikasi telah diarahkan untuk diturunkan di platform e-dagang dalam negara.

“Sejak 2021 sehingga Jun 2022, sebanyak 1,326 bilangan pautan di sosial media dan platform e-dagang luar negara berkaitan penjualan kosmetik tidak bernotifikasi telah dimajukan kepada pentadbir platform bagi permohonan penurunan kandungan.

“Sebanyak 100 laman sesawang telah dimajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan sekatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/22

- Advertisement -