Ramalan Daim beri isyarat rakyat cari pemimpin bersih

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Keupayaan PAS mengekalkan kerajaan negeri yang bersih dan bebas sebarang penyelewengan antara faktor bekas Menteri Kewangan Tun Zaim Zainuddin menjangka parti itu mampu memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Selain itu tiada pergolakan dalaman PAS berbanding parti-parti lain.

Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan Dato’ Hassan Mohamood berkata, andaian bekas pemimpin veteran Umno itu tidak pelik apabila dilihat perkembangan politik yang berlaku sekarang.

- Advertisement -

Katanya, rakyat sememangnya mencari pemimpin dan parti yang bersih dan tidak terlibat sebarang penyelewengan serta skandal.

“Jika ada pihak yang membuat andaian PAS akan memenangi lebih banyak kerusi pada PRU15 dianggap tepat dengan mengambil kira semua parti sekarang dalam suasana pergolakan.

“Situasi yang berlaku itu menyebabkan terhakis kepercayaan rakyat kepada pimpinan mereka,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan jersi kejohanan Liga Elit Dun Tawang di sini malam tadi.

Baru-baru ini Daim ketika memberitahu sebuah portal menjangka PAS bakal memperoleh lebih banyak kerusi pada PRU15 susulan perpecahan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Malah katanya parti dalam PH bakal kehilangan sebilangan kerusi yang dimenanginya pada 2018 lalu.

“Pembangkang tidak akan mendapat majoriti kerana DAP akan kehilangan sebilangan kerusi, manakala PKR akan kalah lebih lagi,” katanya.

Hassan yang juga Adun Tawang berkata, pemimpin PAS dilihat tenang ketika parti-parti lain seperti BN dan PH berdepan masalah dalaman sekarang. – HARAKAHDAILY 15/7/2022

- Advertisement -