100 belia 18 tahun sertai Persatuan Belia Dun

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Pusat Khidmat Dun (PKD) Tawang akan mewujudkan Persatuan Belia Dun selaras kelayakan mengundi usia 18 berbanding 21 tahun sebelum ini.

Adun Tawang Dato’ Hassan Mohamood berkata, sebagai permulaan seramai 100 belia berusaha 18 tahun ke atas dari 22 mukim penghulu di Dun Tawang dipilih sebagai kumpulan pertama.

Katanya, persatuan tersebut akan ditubuh akhir bulan ini yang dianggotai belia berusia 18 tahun ke atas.

- Advertisement -

“Kita akan isytihar Persatuan Belia Dun Tawang selepas kejohanan Liga Elit Dun selesai termasuk membincangkan pembentukan ahli jawatankuasanya.

“Jadi kita harap penghulu dapat mengekalkan hubungan erat dengan anak-anak muda terbabit,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan pasukan bola sepak Liga Elit Dun di Kompleks Masjid Darutarbiah di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Pemuda PAS Bachok Ahmad Huzaifah Fauzi.

Sebanyak 13 pasukan dari 22 mukim penghulu di Dun Tawang bakal berentap dalam kejohanan Liga Elit Dun Tawang yang dianjur kerajaan negeri.

Hassan yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan berkata, penubuhan persatuan itu dapat memberi impak besar kepada kelangsungan perjuangan Islam di Kelantan yang diterajui PAS sejak lebih 30 tahun lalu.

Kata beliau juga pelbagai aktiviti dan program dirancang membabitkan anak-anak muda bagi menyambut kedatangan awal Muharram 1444 tidak lama lagi.

Kata beliau, Islam tidak pernah menghalang penglibatan golongan itu dalam apa sahaja aktiviti selagi tidak bercanggah syariat. – HARAKAHDAILY 15/7/2022

- Advertisement -