Oleh EVA NATASHA SADALI
PUTRAJAYA: Sebanyak 15,759 program induk telah dilaksanakan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sepanjang tempoh dua tahun ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, walaupun berdepan cabaran pandemik Covid-19, lebih 5.8 juta peserta di seluruh Malaysia telah mendapat manfaat daripada pelbagai program anjuran badan kebajikan dan dakwah berkenaan.
Katanya, program tersebut membabitkan peserta secara fizikal dan dalam talian di seluruh negara.
“Pecahan daripada jumlah tersebut dilihat seimbang, di antara program peserta fizikal dan dalam talian iaitu masing-masing seramai 547,644 orang dan 5,347,972 orang.
“Dalam tempoh dua tahun ini, YADIM telah berjaya melebarkan rangkaian rakan strategik merangkumi agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi, pimpinan di pelbagai peringkat termasuk komuniti dan lain-lain yang jumlahnya sebanyak 2,179,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Majlis Penghargaan dan Ramah Mesra YADIM bersama rakan media di Hotel Pulse Grande, dekat sini, hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasrudin Hassan serta pengamal media pelbagai agensi.
Dalam pada itu katanya, program YADIM ini telah mendapat kerjasama daripada 11,024 ejen yang terdiri daripada sukarelawan, mahasiswa dan ahli akademik.
“Oleh kerana YADIM sebuah organisasi milik awam, walaupun ia bukanlah jabatan kerajaan sepertimana kementerian, dari sudut perjawatannya, ia juga terhad kepada 215 kakitangan sahaja.
“Justeru untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dakwah, mustahil ia dapat dilaksanakan seluas itu sekiranya bergantung kepada 215 kakitangan di seluruh Malaysia
“Alhamdulillah kita berjaya mewujudkan agen-agen dakwah yang menjadi entiti dalam dakwah ekosistem YADIM yang terdiri daripada dai-dai muda, dai Sabah dan Sarawak, dai anak-anak orang asal, dai komuniti DPPR,
“Kita juga ada sukarelawan YADIM iaitu tentera biru YADIM yang berjaya kita lahirkan dalam tempoh dua tahun ini berjumlah 11,024 orang,” ujar beliau.
Jelas beliau, program YADIM dikategorikan kepada sembilan signature iaitu YADIM peduli sebanyak 3,004 program, YADIM interaktif (3,321), YADIM murabbi (375), YADIM maya (7,268), YADIM karya (33), YADIM lestari (490), YADIM berdikari (231), YADIM kolaboratif (985) dan kader dakwah (52).
Katanya, YADIM peduli berorientasikan kebajikan, manakala YADIM interaktif berfungsi sebagai medan dakwah seperti debat secara fizikal di seminar, bilik kuliah dan sebagainya.
Manakala, YADIM murabbi bertindak melahirkan kader-kader dakwah baharu, YADIM maya pula merupakan uslub dakwah yang digunakan sepanjang pandemik melanda dengan dakwah secara dalam talian.
Tambahnya, oleh kerana berlakunya era pandemik, dakwah tidak boleh terhenti dan pihaknya menghadirkan satu bentuk metodologi dakwah yang sebelum ini agak sukar dan tidak begitu banyak diterokai iaitu melalui bidang maya.
“YADIM karya; YADIM juga percaya dakwah tidak sekadar disampaikan melalui lisan tetapi juga disampaikan melalui penulisan, maka kita lahirkan penulisan-penulisan yang baik dan alhamdulillah YDP YADIM sendiri telah menghasilkan tiga judul buku yang diterbitkan y\YADIM yang menyentuh pelbagai aspek di dalam bidang dakwah.
“Kemudian kita perkenalkan YADIM lestari yang mana YADIM melihat bahawa hubungan dakwah ini tidak berkaitan dengan manusia sahaja tetapi interaksi manusia dengan alam,” ujarnya.
Dalam program itu, katanya YADIM memperkenalkan skuad cuci-cuci masjid, sanitasi masjid dan fasiliti awam yang bergerak di seluruh Malaysia.
Menurutnya, skuad itu memberi khidmat cuci penjagaan alam sekitar, keselamatan untuk penggunaan fasiliti awam secara percuma di seluruh negara.
“YADIM berdikari merujuk kepada program pembangunan kapasiti YADIM agar mampu berdiri di atas kaki sendiri tanpa terlalu mengharapkan kepada dana kerajaan yang kita tahu semakin mencabar, jadi program penjanaan ekonomi pembangunan keusahawanan juga dilihat antara signature program dakwah YADIM.
“Kemudian kita ada YADIM kolaboratif yang merujuk kepada program pengukuhan, perwujudan dan peluasan kerjasama NGO-NGO dan rakan-rakan strategik yang lain bersama dengan yadim dan alhamdulillah fungsi yadim untuk mengkoordinasi dan menyelaras NGO ini kita berjaya laksanakan melalui platform MAIN.
“Akhir sekali signature kader dakwah memfokuskan kepada pengkaderan bakat-bakat dakwah di peringkat yang paling muda iaitu di peringkat sekolah lagi sampailah pengajian tinggi sama ada awam, swasta ataupun kemahiran,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 15/7/2022