BA.2.75: Varian terbaharu Covid-19 ancam India

Sub-varian terbaharu Omicron, BA.2.75 yang kini mula dikesan di India dilaporkan sudah merebak ke 10 negara lain di seluruh dunia. (Stockphoto)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

NEW DELHI: Varian terbaharu Covid-19 dikenali sebagai BA.2.75 dikhuatiri bakal merebak dengan cepat di India, dan mengatasi imuniti vaksin dan jangkitan daripada varian virus berkenaan sebelum ini.

Ia sekali gus bakal dibimbangi mengancam kesihatan populasi di negara itu yang dijangka bakal melebihi bilangan populasi China menjelang tahun depan, yang mana populasi terkini di India pada tahun ini  direkodkan mencecah 1.412 bilion berbanding China yang kini mencatat 1.426  bilion penduduk.

- Advertisement -

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kenyataannya telah mengesahkan sub-varian terbaharu Omicron itu telah dikesan di  India.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata bahawa terdapat kes varian Omicron, BA.4 dan BA.5 di Eropah dan Amerika Utara, namun terdapat peningkatan risiko sub-varian baharu, BA.2.75 di negara seperti India. 

Dalam laporan terbaharunya, menurut laporan TheHealthSite,  WHO melaporkan bahawa BA.2.75 yang pertama kali muncul di India, kini telah dikesan di 10 negara lain, termasuk Australia, Jerman, United Kingdom dan Kanada dengan tiga kes baru-baru ini dikenal pasti di pantai barat Amerika Syarikat. 

“Kita perlu menunggu hasil  analisis sub-varian Omicron, namun kami kini sedang memfokus terhadap apa sahaja kemungkinannya,” jelas Tedros. 

Sehubungan itu, saintis masih tidak jelas sama ada BA.2.75 yang merupakan mutasi atau sub-varian Omicron BA.2 yang muncul sebelum ini boleh menyebabkan penyakit yang lebih serius berbanding varian omicron lain, termasuk BA.5 yang kini menular di seluruh dunia.

“Masih terlalu awal untuk kami membuat terlalu banyak kesimpulan,” kata Pengarah Virologi Klinikal di Mayo Clinic di Rochester, Minnesota. Amerika Syarikat, Matthew Binnicker, lapor pula Reuters.

Tambahnya, ia menunjukkan peningkatan kes jangkitan BA.2.75 berlaku di India tetapi masih belum boleh ditentukan sama ada ia akan mengatasi bilangan jangkitan BA.5 yang sebelum dilaporkan merebak dengan pantas di Eropah dan Amerika Utara.

Sementara, saintis di Majlis Penyelidikan Saintifik dan Industri-Institut Genomics dan Biologi Integratif New Delhi, India, Lipi Thukral berkata, varian terbaharu itu telah dikesan di beberapa negeri jauh pedalaman India, dan merebak lebih cepat daripada varian lain di sana.

Namun, apa yang membimbangkan saintis ialah keupayaan BA.2.75 menyerang sel tisu manusia yang lebih kuat berbanding varian Omicron terdahulu. 

“Sebahagian daripada BA.2.75 didapati menyerang di kawasan yang berkaitan dengan protein spike dan boleh membenarkan virus mengikat ke sel tisu manusia dengan lebih cekap.

“Kebimbangan lain ialah pengubahsuaian genetik mungkin memudahkan virus melepasi antibodi – protein pelindung yang dibuat oleh badan manusia sebagai tindak balas kepada vaksin atau jangkitan daripada varian Omicron terdahulu,” jelas Binnicker. 

Dalam pada itu, Pengerusi Bersama Konsortium Genom SARS-CoV-2 India (INSACOG), Dr N.K. Arora berkata bahawa BA.2.75 yang baru dikesan memacu lonjakan terbaharu dalam kes Covid-19 adalah tidak mendatangkan jangkitan  teruk sebagaimana dijangka, lapor The HealthSite

“Oleh itu, ia tidak menimbulkan risiko kematian yang tinggi. Peningkatan kes Covid-19 disebabkan BA.275  tidak dilaporkan dari mana-mana kluster atau mana-mana kawasan tertentu di negara ini, walaupun penularan dan kecekapan virus itu adalah 20 hingga 30 peratus lebih daripada BA.2.

“Sub-varian baharu Omicron itu tidak membawa kepada sebarang peningkatan besar atau pengembangan kumpulan kes atau risiko penyakit yang teruk. Kes-kes ini semua tersebar. 

“Saya akan bimbang jika ia berlaku di satu atau dua daerah. Tetapi Ia berlaku secara berselerak. Ini bermakna ia bukan sesuatu yang merebak terlalu cepat atau menyebabkan terlalu banyak kes yang teruk,” tegas Arora.  – HARAKAHDAILY 12/7/2022

- Advertisement -