10 tahun Yayasan Amal laksana korban di Mindanao

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

MAGUINDANAO (Filipina):
Sehingga sekarang lebih 10 tahun Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu melaksanakan program ibadat korban sempena Hari Raya Aidiladha di Filipina.

Dalam tempoh tersebut hanya dua tahun tidak diadakan program terbabit akibat pandemik Covid-19.

Ketua delegasi berkenaan Wan Azhar Wan Ahmad bèrkata, misi ibadah korban merupakan aktiviti tahunan Amal Malaysia di beberapa negara termasuk Wilayah Mindanao.

- Advertisement -

Katanya, antara negara lain iaitu di Chad Sudan, Uganda, Palestin (Gaza), Kemboja, Pakistan, Afghanistan dan Bangladesh.

Menurut beliau pihaknya memilih Mindanao kerana sudah lebih 10 tahun menyantuni masyarakat Islam di wilayah terbabit.

“Alhamdulillah, tahun ini kami ke Mindanao bagi melaksanakan ibadah korban bagi rakyat Malaysia, khususnya umat Islam dari Terengganu.

“Kami menyantuni saudara seagama di mana mereka tidak mampu untuk melaksanakan sendiri tuntutan tersebut,” katanya seusai program berkenaan di Kampung Madia, Maguindanao semalam.

Sebanyak 23 ekor lembu, 15 kambing dikorbankan dan akikah pada program tersebut. Selain itu sebanyak 156 naskhah wakaf al-Quran disampaikan kepada komuniti Islam di kampung terbabit.

Wan Azhar juga berkata, antara kawasan yang diagihkan daging lembu dan kambing iaitu Basilan, Zamboanga, Magaslun, Madia, Pagadian City, Iligan City, Tawi-Tawi, Cotabato, Tipo-Tipo dan Isabella. – HARAKAHDAILY 12/7/2022

Berita lanjut dalam Harakah edisi cetak.