5G pemacu kemunculan bandar pintar – ahli akademik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rangkaian generasi kelima (5G) adalah pemacu bagi kemunculan bandar pintar di Malaysia, kata Pensyarah Sekolah Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Leow Chee Yen.

Menurut ahli akademik itu, blok bangunan asas bandar pintar terdiri daripada infrastruktur yang baik dilengkapi dengan rangkaian komprehensif canggih teknologi 5G antara lain.

“Bandar pintar menggunakan teknologi semasa dan baru muncul seperti 5G, Internet Benda (IoT), data raya, awan, pengkomputeran tepi, kecerdasan buatan (AI) dan lain-lain, dengan tujuan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan perkhidmatan di seluruh bandar, meningkatkan produktiviti ekonomi dan menawarkan penambahbaikan perkhidmatan kepada penduduk, tanpa mengabaikan kesan alam sekitar dan mengambil kira kelestarian,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Leow berkata bandar pintar akan mendigitalkan perkhidmatan awam, yang menghubungkan jabatan kerajaan, membolehkan penyampaian perkhidmatan majlis perbandaran yang cekap kepada orang ramai, sambil menyediakan mekanisme keselamatan awam yang reaktif dan responsif untuk memastikan kesejahteraan penduduk.

“Melalui ketersambungan dan sensor yang digunakan di seluruh bandar, pihak berkuasa boleh menggunakan data raya dan analisis yang dikumpulkan dan dapat meramalkan masa depan, contohnya pertumbuhan bandar, lalu lintas atau penduduk dan aspek persekitaran seperti keadaan cuaca dan juga indeks pencemaran udara,” katanya.

Leow berkata melalui pengumpulan data menerusi peranti IoT ini, AI dapat mengenali corak untuk meramalkan kemungkinan bencana, contohnya insiden banjir kilat di kawasan tertentu di bandar dan juga menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas sambil mengurangkan jejak karbon atau pelepasan CO2 daripada kenderaan kepada alam sekitar. 

Katanya dari segi ekonomi, penubuhan bandar pintar juga akan dapat menarik pelaburan langsung asing kerana pelabur boleh mengembangkan pejabat satelit dan dapat menawarkan peluang pekerjaan.

“Pendigitalan sektor pendidikan dan penjagaan kesihatan akan menawarkan penduduk peluang yang sama dalam pendidikan berkualiti dan perkhidmatan penjagaan kesihatan di seluruh bandar. Akhirnya penduduk dapat menikmati kehidupan lebih baik di bandar pintar dengan teknologi 5G,” katanya.

Leow yang telah mengumpul lebih 400 jam sebagai pelatih profesional dalam teknologi 4G dan 5G telah menghapus salah tanggapan umum bahawa 5G hanyalah versi 4G yang lebih pantas, malah 5G lebih berkeupayaan untuk menyambungkan mesin dan peranti IoT. 

Beliau berkata selain 5G yang meningkatkan 4G dalam semua aspek, ia juga menyokong fungsi dan ciri baharu yang tidak dapat dicapai oleh 4G, seperti sokongan kenderaan autonomi kritikal misi dan aplikasi dron yang memerlukan kependaman yang ketat serta rangkaian yang boleh dipercayai.

“Selain meningkatkan jalur lebar serta membuat sambungan sekurang-kurangnya 20 kali lebih pantas, 5G juga menyokong peranti IoT dengan keupayaan untuk menyambung satu juta sambungan bagi setiap kilometer persegi kawasan.

“5G bukan sahaja memberi manfaat bagi mereka yang tinggal di bandar besar tetapi juga di kawasan pinggir bandar dan luar bandar yang seiring dengan visi kerajaan untuk menyediakan ketersambungan bertaraf dunia untuk rakyat dan membantu Malaysia menjadi sebuah negara berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -