Pendirian PAS mengenai lantikan TPM, PRU15 dan subsidi

Lantikan TPM, tarikh PRU15, logo pilihan raya dan peruntukan subsidi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS berpendirian bahawa pelantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM) tidak perlu diadakan pada masa ini sebaliknya kerajaan mesti memfokuskan penyelesaian masalah-masalah rakyat.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan demikian ketika ditanya media selepas menyampaikan Kuliah Dhuha mingguan di Masjid Rusila, Marang pada tengah hari tadi.

“Kita masih lagi berpegang kepada awal-awal kita tubuh kerajaan, tak ada TPM. Masih lagi (dipegang keputusan itu). Perbincangan ada, tapi tak ada keputusan kerana kita masih lagi sibuk dengan urusan-urusan rakyat.

“Kita masih lagi selesaikan masalah rakyat, kita kekal tak ada TPM,” ujar beliau kepada pertanyaan media terhadap permintaan pihak BERSATU untuk pihak kerajaan mengadakan pelantikan tersebut.

Wakil Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu turut menjawab pertanyaan media berkenaan PRU15 di mana PAS jelas beliau, berpendirian ia hanya dilaksanakan setelah tamat penggal PRU14 yang akan sampai tempoh akhirnya pada Julai 2023 nanti.

“Itu saya difahamkan lihat suasana ekonomi. Suasana ekonomi dunia, bukan ekonomi Malaysia saja, ekonomi dunia. Sehingga hari ini kita masih berpegang kepada habis tempoh. 

“Tetapi (jika) keadaan terdesak, boleh buat bila-bila masa. (Tetapi) Bila-bila masapun, (kena adakan) lepas bajetlah, bajet nak bentang, bentang bajet dulu,” cadang beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Ditanya mengenai penggunaan logo oleh PAS dalam Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU15, beliau memaklumkan sememangnya dihasratkan penggunaan satu bendera bersama termasuk penggunaan bendera sendiri, tetapi ia masih dalam perbincangan.

Menyentuh usaha kerajaan menangani masalah rakyat khususnya isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi, beliau mengakui peruntukan subsidi hampir RM9 bilion sememangnya jumlah besar di mana tidak dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.

“Jumlah yang banyak, jumlah yang banyak. Apa yang tak dibuat oleh PH. PH terbantut masa PH, dan bila kita ambil alih, kita laksanakan dan perbetulkan perjalanan itu. Subsidi dah ada, cuma kita perbetulkan. 

“Dulu ada berlaku salah laku, subsidi diberi mengikut pilihan-pilihan mengikut sokongan-sokongan politik. Itu perlu diubahlah. Kita ubah kepada rakyat yang perlu dapat bantuan tanpa mengira sokongan parti politik dia, kerana semua rakyat kita belaka,” ujar beliau.

Beliau turut menyanggah pihak yang mengheret himpunan berkenaan isu itu di mana tempelaknya desakan tidak perlu diadakan kerana pemberian subsidi itu sudahpun dilaksanakan oleh kerajaan. – HARAKAHDAILY 8/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -