Filem Mat Kilau: Pemuda PAS semarak patriotisme belia

- Advertisement -

KUALA LANGAT: Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Pemuda PAS Kawasan Kuala Langat menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan belia menerusi tayangan filem Mat Kilau di My Cinema Banting, di sini semalam.

Seramai 140 penonton terpilih daripada slogan ‘contest’ kreatif dianjurkan Facebook DACS Kuala Langat telah diberi tiket percuma untuk bersama menghayati filem fenomena yang berjaya mencapai ‘box office’ itu ketika ini.

“Filem Mat Kilau telah membangkitkan semangat jati diri Islam. Disajikan unsur-unsur nasihat, ikatan ukhuwah yang kuat, semuanya terangkum di dalam cerita ini. Ia membawa mesej dakwah kepada masyarakat,” beritahu Pengarah DACS Kuala Langat, Muhammad Saidul Marjuni.

Hadir sama semasa tayangan adalah Setiausaha Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hanif Jamaluddin merangkap Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor yang turut memberi ucapan taujihad sebelum tayangan.

Selain itu, sesi tayangan ini juga diserikan dengan kehadiran Pertubuhan Kembara Anak Seni Selangor (PKAS) yang sama-sama hadir berpakaian Busana Melayu membangkitkan lagi semangat tersebut.

“Program tayangan ini membuka peluang kepada anak muda untuk memahami sejarah Mat Kilau dalam perjuangannya menentang penjajah dengan meletakkan agama sebagai sumber kekuatan dan kemenangan.

“Pengurusan program juga sangat baik, pengasingan tempat duduk dibuat antara lelaki dan perempuan, saya sendiri diberikan peluang untuk memberikan ucapan sebagai peringatan bersama berkaitan perjuangan Islam dan etika berhibur dalam Islam.

“Saya sangat seronok melihat ramai yang hadir berbusana, bertanjak serta berpakaian tradisional menunjukkan lambangkan jati diri dan kesenian kita masih tetap dipelihara sehingga kini.

“Semoga ia dapat memberi faham kepada anak muda bahawa Islam tidak menghalang hiburan namun ada batas-batas syariat yang mesti dituruti,” ujar Hanif.

Saidul pula memberitahu, pihak DACS Kuala Langat akan terus melaksanakan program berunsur kesenian, budaya dan sukan dari semasa ke semasa.

“Selepas ini dan dalam masa terdekat ini, DACS Kuala Langat akan menganjurkan Kejohanan Sepak Penalti Piala Ketua Pemuda dan program basuh motor dan tukar minyak hitam percuma khas buat belia-belia di sekitar Kuala Langat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -