Bekas PM Jepun, Shinzo Abe meninggal dunia

Berita kematian Shinzo Abe dilaporkan dalam edisi terkini surat khabar Jepun
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

NARA (JEPUN): Bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe, pemimpin Jepun yang paling lama berkhidmat, meninggal dunia hari ini, beberapa jam selepas ditembak ketika berkempen untuk pilihan raya negara itu.

Pembunuhan Abe mengejutkan sebuah negara yang keganasan politik jarang berlaku dan senjata api dikawal ketat.

- Advertisement -

Seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah Abe, 67, dari belakang dengan pistol yang kelihatan buatan sendiri ketika beliau berucap di bandar ini.

Ini adalah pembunuhan pertama seorang menteri atau bekas Perdana Menteri Jepun sejak zaman ketenteraan sebelum perang pada tahun 1936.

Doktor bergelut untuk menyelamatkan Abe, tetapi beliau meninggal dunia pada jam 5:03 petang, kira-kira lima setengah jam selepas ditembak.

Abe mati akibat dua luka yang dalam, satu di sebelah kanan lehernya, kata seorang doktor pada sidang akhbar yang disiarkan di televisyen nasional.

Tempat kejadian Shinzo Abe ditembak
Keadaan kelam kabut selepas tembakan berlaku
Ambulans membawa bekas PM Jepun ke hospital
Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai menembak Shinzo Abe
Shinzo Abe dibawa ke Hospital Universiti Nara, tetapi tidak dapat diselamatkan

Bercakap sebelum kematian Abe diumumkan, Perdana Menteri, Fumio Kishida, mengutuk pembunuhan itu, manakala rakyat Jepun dan pemimpin dunia melahirkan rasa terkejut.

“Serangan ini adalah suatu tindakan kejam yang berlaku ketika pilihan raya – asas demokrasi kita – dan sememangnya tidak boleh dimaafkan,” kata Kishida, bergelut untuk mengawal emosinya.

Polis berkata seorang lelaki berusia 41 tahun yang disyaki melakukan tembakan itu telah ditahan. NHK memetik suspek yang dikenali sebagai Tetsuya Yamagami, sebagai memberitahu polis bahawa dia tidak berpuas hati dengan Abe dan mahu membunuhnya. – HARAKAHDAILY 8/7/22

- Advertisement -