Isu projek Musang King: UMMAH gesa siasatan forensik cari punca banjir

Punca bencana banjir dan kepala air di Kupang, Baling Kedah pada petang 4 Julai 2022 dipercayai akibat sumber air yang terkumpul terlalu banyak di Gunung Inas sebelum mengalir laju melalui puluhan cerun dan ke Sungai Kupang.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menggesa siasatan forensik rapi dijalankan bagi mencari punca kejadian banjir dan kepala air yang melanda beberapa buah kampung di Kupang, Baling, Kedah.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, gesaan itu bagi mengeluarkan satu laporan yang boleh dipercayai atau ‘credible’ sebagai panduan kepada Menteri Besar Kedah dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu terkapit membabitkan projek Musang King di Gunung Inas, Baling.

- Advertisement -

Menurutnya, satu pasukan pakar yang terdiri daripada jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dan swasta bebas perlu dibentuk untuk membuat siasatan berkenaan.

“Projek Musang King ini dijangka akan diteruskan atas dasar keterikatan perjanjian perundangan yang lepas.

“Dengan adanya laporan pakar yang credible dan bebas, ini akan menjawab segala permasalahan yang berlaku sekarang ini yang berlegar di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan kepada HarakahDaily.

Mohd Zai Mustafa

Mohd Zai dalam kenyataan sama turut memberi tanda tanya jika kejadian banjir dan kepala air yang berlaku di Kupang, Baling itu berkemungkinan adalah sabotaj kepada pentadbiran Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Katanya, kepimpinan Muhammad Sanusi dilihat sangat berintegriti dan terdapat kemungkinan ada pihak mencemburui dan berhasrat merampas semula kepimpinan kerajaan negeri itu.

“Dengan adanya isu yang panas sebegini ia menjadi bahan yang paling ampuh untuk menumbangkan kerajaan yang ada.

“Ini dilihat melalui beberapa akaun di media sosial yang mula memainkan isu panas ini serta cuba memberi gambaran buruk dan tekanan hebat kepada pentadbiran Muhammad Sanusi dan kerajaan Negeri,” katanya.

Mohd Zai membuat andaian itu berdasarkan justifikasi yang menurutnya sukar untuk disangkal.

Katanya, kolam takungan air untuk ladang Musang King adalah sangat besar serta merupakan komponen yang sangat penting bagi tujuan pengairan projek itu.

Justeru, kata Mohd Zai, sudah tentu kolam berkenaan perlu dijaga rapi dari sudut ketahanannya dan diselengara dengan sebaiknya.

“Sudah pasti rekabentuk (design) telah diambilkira sepenuhnya oleh pasukan jurutera projek ini dengan sebaiknya. Sebarang kemungkinan yang akan berlaku sepatutnya sudah dijangka dan plan kontigensi telah ada disediakan.

“Sudah pasti (jika) kejadian ini (berlaku), sudah dalam jangkaan dan pengetahuan pasukan jurutera perunding projek ini dan juga pihak syarikat terbabit.

“Menyalahkan hujan yang lebat adalah suatu perkara lain yang sebelum ini hujan lebih lebat lagi,” katanya.

UMMAH mencadangkan agar satu pasukan pakar yang terdiri daripada jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dan swasta bebas perlu dibentuk untuk membuat siasatan berkenaan terhadap kejadian banjir di Kupang, Baling, Kedah 4 Julai 2022.

Justeru, berdasarkan justifikasi itu, Mohd Zai menggesa supaya siasatan yang boleh dipercayai atau credible oleh pasukan jurutera yang pakar serta bebas perlu dijalankan.

Dalam perkembangan sama, tinjauan udara yang dilakukan Muhammad Sanusi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Rabu mendapati tiada pecahan takungan air berlaku seperti yang dikatakan menjadi penyebab kepada fenomena kepala air berkenaan.

Katanya, sumber air yang terkumpul terlalu banyak di Gunung Inas sebelum mengalir laju melalui puluhan cerun dan ke Sungai Kupang dipercayai menjadi punca bencana banjir dan kepala air di Baling pada petang Isnin lalu.

“Tiada pecahan, rekahan atau jatuhan tebing berlaku. Menariknya juga, sepanjang aliran air itu pokok-pokok besar masih ada iaitu pokok yang tidak ditebang sewaktu kawasan ini dicerahkan untuk dibangunkan ladang hutan.

“Jadi kesimpulan pada masa ini sebelum mendapat laporan daripada jabatan teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) ialah aliran air bergerak begitu laju di cerun yang curam daripada sumber air yang terlalu banyak dan bercantum menjadi satu di aliran Lata Celak yang mengalir di Sungai Kupang,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2022

- Advertisement -