Penyatuan ummah mampu jamin kestabilan politik

- Advertisement -

RASULULLAH SAW bersabda:

‎مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (Riwayat al-Tirmizi)

Aidiladha sentiasa mengingatkan kita kepada sebuah pengorbanan agung iaitu kisah Nabi Ibrahim A.S bersama puteranya Ismail A.S.

- Advertisement -

Penghayatan bagi ibadah haji melalui Hari Wukuf di Arafah serta Mabit perlu dilihat dan dihayati dengan lebih mendalam dan meluas supaya hikmahnya dapat diterokai sebagai panduan bagi perjuangan dan kesatuan umat Islam.

Perpaduan dan kesatuan ummah mestilah meletakkan agenda Islam sebagai keutamaan yang dipaksikan dengan akidah keimanan. Penyatuan ummah akan membawa kesatuan umat Islam tanah air sekaligus menjamin kestabilan politik dan keharmonian kaum.

Perjuangan untuk membawa kebenaran sering akan diuji dengan kesusahan dan kepayahan. Namun kejayaan Nabi Ibrahim A.S ialah sikap bertawakal kepada Allah SWT yang amat tinggi. Kekuatan pegangan akidah yang tidak berbelah bagi dan menyerahkan segala urusan kehidupan kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa.

Sempena Hari Wukuf dan Aidiladha ini marilah kita sama-sama mendoakan semoga para jemaah haji dari seluruh dunia diberikan kesihatan dan keselamatan dan dianugerahkan dengan haji mabrur yang tiada balasan kecuali syurga.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam.

Maaf zahir batin daripada saya dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri, semoga Allah menerima segala amalan kita dan mengampuni seluruh dosa kita sempena Hari Arafah 9 Zulhijjah.

“Merakyat Membangun Bersama Islam”
‘Keberkatan, Kemakmuran, Kebajikan’

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
8 Zulhijjah 1443H/ 8 Julai 2022 – HARAKAHDAILY 8/7/2022