Tiba masa penulisan sejarah negara disemak semula

- Advertisement -

MELIHAT sambutan masyarakat awam terhadap filem sejarah ‘Mat Kilau’ yang memperihalkan kepahlawanan Melayu menuntut kemerdekaan amat positif dan menarik untuk diulas. Situasi ini menggambarkan filem-filem sebegini masih relevan untuk terus diangkat ke tengah masyarakat. 

Sejarah pahlawan Melayu Mat Kilau merupakan antara pahlawan ulung melawan penjajah, diperkuat dengan sokongan dalam kalangan ulamak yang juga pada masa yang sama merupakan pemimpin masyarakat. 

Dato’ Bahaman dan Tok Gajah di Pahang, Tok Janggut di Kelantan, Dol Said di Naning adalah antara tokoh yang tersemat dalam lipatan sejarah perjuangan negara bahkan juga sebagai tokoh yang menggerakkan penentangan terhadap penjajah. 

Hakikatnya mereka ini adalah ulamak yang hidup di tengah-tengah kebangkitan, membimbing masyarakat dengan agama dan menterjemahkannya dalam kehidupan, lapangan perjuangan menegakkan agama, bangsa dan negara. 

Kami turut berpandangan inilah saat yang tepat untuk semua pihak khasnya para sejarawan dan Kementerian Pendidikan Malaysia melakukan kajian membetulkan kembali nuansa sejarah dalam buku-buku sejarah negara khasnya buku teks pendidikan anak-anak di sekolah. 

Sejarah yang dibentangkan kepada pelajar diolah seolah-olah penentangan terhadap penjajah sekadar hilangnya kuasa pentadbiran dan kezaliman penjajah semata. Ada juga yang menggelar penentangan diketuai ulamak sebagai berhaluan kiri. Hakikatnya penentangan ini kerana hilangnya undang-undang Islam yang termaktub dalam kerajaan-kerajaan negeri di Tanah Melayu serta kuasa raja-raja yang disempitkan. Nilaian naratif sejarah semakin terhakis menjadikan cerita sejarah perjuangan tokoh-tokoh terlalu kecil untuk dihayati.

Peperangan dan penentangan yang diketuai oleh para ulamak ini berpandukan kepada kepentingan aqidah Islam dan kuasa politik Islam yang perlu dijaga. Hilang kuasa politik Islam dengan datangnya penjajah, pasti akan menyebabkan kuasa Islam disempitkan dan umat Islam akan kembali terjajah.

Penentangan ini sudah pasti atas dasar mempertahankan kuasa politik Islam pada waktu tersebut. Inilah yang diistilahkan sebagai Jihad. Maka konsep Jihad menentang penjajah ini pernah berlaku dalam negara kita, bukan hanya di Tanah Arab sahaja. 

Kami juga amat tertarik dengan cadangan untuk filemkan sejarah Kedah antaranya Perang Musuh Bisik antara Kerajaan Kedah dan Siam. Bukan hanya kehebatan alatan perang kerajaan di Tanah Melayu waktu itu, tetapi juga penglibatan jihad kalangan tokoh ulamak tersohor Syeikh Abdul Somad Alpalembangi, seorang ulamak dan penulis kitab yang turut berjihad

Semoga dengan penerbitan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dapat terus menyuburkan penghayatan perjuangan kebangkitan serta dukungan agama dalam masyarakat. Inilah mesej penting yang perlu dirangkumkan dengan kehadiran filem sebegini.

YB USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT
ADUN Sungai Limau/Ketua Penerangan PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 4/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -