Gerakan anak Kelate gesa Lebuhraya Timur-Barat dinaik taraf

- Advertisement -

BILA tiba musim perayaan, isu jalan raya dan perjalanan balik ke Kelantan menjadi antara topik dibincangkan. Dalam 10 hari lagi, Hari Raya Korban pula menjelang. Selalu kita dengar, kalau di Kelantan Raya Korban jauh lebih meriah berbanding Raya Puasa.

Namun, kesedaran mengenai kefahaman bidang kuasa dan tanggungjawab Persekutuan terhadap negeri telah semakin baik, khususnya sejak isu ini tular dibincangkan pada Hari Raya Aidil Fitri yang lalu. Bila dah namanya jalan Persekutuan, takkan mudah-mudah Kerajaan Negeri Kelantan dipersalahkan?

Apabila Lebuhraya Timur-Barat sebelah Jeli, Kelantan semakin baik ~ berbanding buruknya jalan yang sama dalam sempadan Hulu Perak ~ ini menunjukkan bahawa desakan pemimpin negeri Kelantan bagi memastikan jalan Persekutuan dalam negeri telah dibuat sebaik mungkin.

Cuma bagi jalan Persekutuan dalam sempadan Perak, secara tak langsung ia bukan bidang kuasa rasmi pemimpin negeri Kelantan. Dalam hal ini, pimpinan Kerajaan Negeri Perak juga telah dilihat mengajukan gesaan untuk pembaikan.

Satu perkembangan penting yang perlu pengguna laluan FT004 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) ingat ialah apabila Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan bahawa peruntukan sebanyak RM68 juta diperlukan bagi pembinaan baharu jalan tersebut dari Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan.

Pada Jun 2022, selepas Taklimat Lawatan Kerja Ke Laluan Persekutuan di Daerah Hulu Perak di Dewan Persidangan Gerik Seri Inai, Menteri Kerja Raya itu mengakui aduan yang dibuat oleh pengguna laluan FT004 JRTB adalah berasas.

Pada ketika yang sama Fadillah dan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad turut meluangkan masa selama satu jam meninjau keadaan kerosakan jalan di sepanjang laluan tersebut.

Lebuh raya yang dibina 40 tahun lepas itu sememangnya menjadi laluan termasuk kenderaan berat hingga pada usia tersebut sememangnya ia perlukan naik taraf dan penyelenggaraan.

Cuma persoalan lebih utama bila betul-betul ianya akan dibuat?

Pada hari tersebut Menteri Kerja Raya memberi komitmen bahawa semua jalan Persekutuan yang dikenal pasti dijangka akan dibaik pulih menjelang tahun 2023. Oleh itu, perlu ada desakan berterusan agar siapa sahaja jadi Menteri Kerja Raya selepas ini tak lupa dan ambil berat.

Saya kira orang Kelantan terutamanya, perlu sentiasa ikuti perkembangan ini. Walaupun jalan tu terletak dalam sempadan Perak, anak-anak rantau Kelantan terutamanya perlu sentiasa rajin mengikuti dan mendesak.

Untuk makluman semua Laluan Persekutuan FT004 merupakan Jalan utama Timur-Barat di Zon Utara Malaysia yang menghubungkan tiga negeri bermula di Kulim, Kedah melalui Gerik, Perak dan berakhir di Pasir Puteh, Kelantan dengan panjang keseluruhan jalan adalah 291.99 kilometer.

Oleh yang demikian, suka saya mencadangkan anak-anak rantau Kelantan yang tinggal di negeri Utara Semenanjung, iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak bergabung membentuk satu gerakan proaktif mendesak hal ini.

Desakan jangan tunggu musim. Desakan jangan tunggu berlaku insiden kecelakaan. Desakan jangan tunggu orang Hulu Perak nak berjuang untuk anak Kelate. Anak-anak Kelate perlu luaskan kuasamu demi kesejahteraan pulang dari perantauan.

Cukuplah gerakan yang sudah-sudah, di mana hanya bergerak setahun sekali untuk makan-makan dan menuding orang tak sudah-sudah.

Gerakan desakan menaik taraf jalan balik kampung ke Kelantan kali ini perlu bersungguh. Gedebe biar ada hasil, jange wak malu ko Pok Ya Cong Codei!

ZIKRULLAH ISMAIL
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 30/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -