Bersatu sokong PM depani kenaikan kos sara hidup

Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Bersatu memberi sokongan tidak berbelah terhadap kepimpinan Perdana Menteri (PM) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mendepani pelbagai kekangan terutama ketika kenaikan kos sara hidup sekarang.

Naib Ketua Srikandi Malaysia Dato’ Mas Ermieyati Samsudin berkata, dalam mendepani pelbagai isu Bersatu berharap Perdana Menteri terus tabah dan cekal melalui cabaran tersebut.

“Melihat keadaan semasa sekarang, sokongan kepada Perdana Menteri perlu diberikan dan saya juga percaya pimpinan bawahan juga perlu memberi sokongan.

- Advertisement -

“Saya berharap Perdana Menteri kekal tabah. Saya tahu bukan mudah untuk menangani isu-isu mencabar justeru Perdana Menteri kena cekal dan kuat untuk mendepani cabaran berkenaan,” katanya pada sidang media ketika menghadiri majlis minum petang bersama Srikandi Kelantan di sini, hari ini.

Mengenai peluang Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) beliau berkata, peluang semua parti tidak sama memandangkan cabaran yang dihadapi sangat gentir.

Oleh itu katanya, setiap parti perlu bekerja keras dalam mendepani PRU15 terutama perlu menyelesaikan isu rakyat.

“Berdasar pengamatan saya, isu rakyat perlu diberi tumpuan terutama menyelesaikan masalah yang dihadapi sekarang. Apa pun yang kita buat kita perlu beri keutamaan kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan jangan ada pihak hanya memikirkan untuk menjadi calon, sebaliknya perlu berkhidmat kepada rakyat secara berterusan. – HARAKAHDAILY 30/6/2022

- Advertisement -