51 pendatang mati dalam trak: 2 warga Mexico didakwa

Bunga, lilin dan botol air diletakkan di lokasi mayat pendatang ditemui dalam trak
- Advertisement -

SAN ANTONIO (TEXAS): Dua warga Mexico yang dipercayai terbabit dalam tragedi penyeludupan yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila sekurang-kurang 51 pendatang mati selepas terperangkap dalam sebuah trak, diidakwa di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS).

Pendatang yang meninggal dunia, 39 lelaki dan 12 wanita, kebanyakan warga Mexico, ditemui Isnin lalu di kawasan perindustrian pinggir bandar ini, kira-kira 250 kilometer utara sempadan AS-Mexico.

- Advertisement -

Menurut Pemangku Ejen Khas yang bertanggungjawab dalam siasatan Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) AS, Craig Larrabee, kejadian itu mencatatkan kehilangan nyawa terbesar dalam sejarah pemerdagangan manusia di AS

Pihak berkuasa tempatan menyatakan sebagai mengerikan apabila menemui timbunan mayat sebaik pintu belakang trak terbuka, manakala yang lain bergelimpangan berhampiran. Tubuh beberapa mangsa juga panas apabila disentuh.

Mengikut dokumen mahkamah dan pihak berkuasa AS, dua suspek warga Mexico yang dikenal pasti sebagai Juan Francisco D’Luna-Bilbao dan Juan Claudio D’Luna-Mendez, didakwa memiliki senjata api ketika menetap di AS secara haram.

Berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan trak itu, penyiasat mengesan sebuah premis di bandar ini yang kemudian diletakkan di bawah pemantauan. Dua lelaki ditahan secara berasingan ketika masing-masing meninggalkan premis terbabit.

Menurut seorang pegawai Mexico, suspek ketiga ialah warga AS yang memandu trak itu, turut ditahan dan dijangka akan didakwa, tetapi ketika ini masih dirawat di hospital.

Anggota polis memeriksa lori yang menyeludup pendatang Isnin lalu.

Trak itu ditinggalkan berhampiran landasan kereta api ketika suhu meningkat sehingga 39.4 Celsius. Pihak berkuasa tempatan berkata, tiada tanda air atau alat penghawa dingin kelihatan dalam trak itu.

“Ia adalah tragedi yang tidak dapat dijelaskan,” kata Datuk Bandar San Antonio, Ron Nirenberg, yang menyatakan bahawa komunitinya bergantung kepada pendatang ketika berdepan kekurangan buruh.

Presiden AS, Joe Biden, dalam satu kenyataan semalam, menyatakan bahawa kejadian itu mengerikan dan menyayat hati”

“Mengeksploitasi individu untuk mendapatkan keuntungan adalah memalukan,” kata Biden yang berikrar untuk membanteras kegiatan penyeludupan jenayah bernilai berbilion dolar yang membantu menyemarakkan bilangan kemasukan pendatang di sempadan AS-Mexico sejak beliau memegang jawatan pada Januari 2021. – REUTERS

- Advertisement -