Perluas bantuan e-tunai buat M40: Atasi monopoli kartel

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan meneruskan pemberian subsidi dalam bentuk e-dompet atau e-tunai sebanyak RM100 hingga RM200 setiap bulan kepada golongan B40 serta diperluaskan kepada M40.

Pakar ekonomi, Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, ia adalah bertujuan bagi mengimbangi kadar kenaikan harga barangan dan perbelanjaan bulanan rakyat di negara ini.

- Advertisement -

Menurutnya, keperluan mengkreditkan subsidi kepada golongan M40 juga penting bagi mengurangkan beban golongan terbabit yang turut terkesan akibat inflasi kenaikan harga barang

“Duit yang dikreditkan ke dalam e-dompet atau e-tunai rakyat hanya boleh digunakan bagi keperluan barangan harian seperti minyak masak, tepung, beras, sayur dan makanan lain.

“Rakyat boleh memanfaatkan pemberian subsidi ini di lebih 300 rantaian pasar raya dan kedai di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores serta kedai runcit.

Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed

“Bantuan ini penting bagi memastikan tidak ada rakyat yang kelaparan dan ada duit untuk membeli keperluan makanan asas berkenaan,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, bantuan tunai berkenaan mampu mengatasi isu kartel memonopoli sesuatu keperluan barangan harian ini apabila rakyat mempunyai pilihan untuk berbelanja di tempat-tempat yang ditetapkan.

Langkah tersebut, ujarnya, juga dapat membantu mengoptimumkan perbelanjaan bulanan rakyat dengan lebih baik.

“Fokus pemberian ini adalah untuk bantu rakyat, duit yang disalurkan tiap-tiap bulan itu digunakan dengan optimum, habis bulan ini, ada bulan depan, habis bulan depan, ada bulan satu lagi, duit itu boleh dibawa ke depan kalau tak guna, kena bagi setiap bulan supaya optimum.

Bantuan tunai e-dompet perlu diperluaskan kepada golongan M40 bagi mengatasi isu kartel memonopoli sesuatu keperluan barangan harian pengguna.

“Kalau bagi RM500, nanti habis, dua tiga bulan lagi masalah, lebih bagi baik secara bulanan daripada berperingkat, habis bulan ni, bulan depan dapat lagi, sekurang-kurangnya RM100 atau RM200,” jelasnya.

Tambah pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, sekiranya pemberian subsidi bulanan dipanjangkan kepada golongan M40, beliau berpandangan kerajaan masih mempunyai kemampuan bagi meneruskan usaha membantu golongan terbabit.

“Mengambil kira angka penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), iaitu 8.6 juta penerima, maka unjuran jumlah peruntukan bulanan dikreditkan dalam e-dompet B40 adalah RM860 juta setiap bulan dan jumlah keseluruhan RM10.3 bilion setahun,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2022

- Advertisement -