Pekerja boleh mohon kerja empat hari seminggu

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Pekerja di negara ini boleh memohon untuk bekerja empat hari seminggu mengikut aturan fleksibel (AKF) kepada majikan masing-masing bermula 1 September ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia (KSM), Datuk Awang Hashim berkata, majikan perlu memberi jawapan permohonan itu dalam tempoh 60 hari melalui surat bertulis kepada pekerja terbabit.

“Pekerja hanya perlu membuat surat permohonan berkenaan kepada majikan sama ada memohon perubahan waktu hari bekerja dan perubahan tempat kerja.

- Advertisement -

“Dalam surat jawapan bertulis majikan kepada pekerja, mereka perlu nyatakan sama ada menerima permohonan atau menolak permohonan dengan alasan yang perlu dinyatakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Keharmonian Perusahaan Wilayah Utara di sini, semalam.

Katanya lagi, AKF berkenaan selaras dan termaktub mengikut pindaan Akta Kerja 1955 yang membolehkan pekerja membuat permohonan perubahan waktu bekerja yang berkuat kuasa 1 September.

Ujarnya, secara keseluruhan, di Asia Tenggara keutamaan untuk fleksibiliti adalah sebanyak 60 peratus untuk memilih minggu bekerja yang lebih singkat.

Namun keputusan kerajaan dalam AKF ini tidak ‘mengikat’ majikan dan ia bergantung kepada kesesuaian agensi serta syarikat masing-masing.

Mengikut tinjauan sebuah syarikat berpengalaman, Qualtrics secara di atas talian syarikat berpengalaman mengendalikan tinjauan secara dalam talian mendapati 62 peratus pekerja di negara ini lebih gemar waktu fleksibiliti berbanding hari kerja yang pendek seperti empat hari seminggu.

Awang berkata, KSM bersedia membuat kajian mengenai dasar tempoh bekerja empat hari dalam seminggu seperti yang telah dilaksanakan di beberapa negara maju.

“Kajian perlu dilakukan secara menyeluruh berikutan terdapat majikan yang terkesan atas faktor produktiviti rendah dan hal ini perlu dibawa dalam perbincangan bersama KSM dan JPPM,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 24/6/2022

- Advertisement -