Bahaya sakit mental pasca Covid-19 dalam kalangan profesional

Stres berkaitan rutin tugasan perkerjaan tercetus apabila permintaan pekerjaan melebihi keupayaan seseorang pekerja yang bukan sahaja mengganggu kesihatan mental pekerja malah meletakkan nyawanya dalam risiko. (FOTO HIASAN)

Oleh Prof. Madya Dr. Ilhaamie Abdul Ghani Azmi

Negara baru-baru ini dikejutkan dengan kes kematian seorang doktor pelatih akibat terjatuh daripada asrama kediamannya, di Jalan Datuk Keramat, George Town, Pulau Pinang.

Sehubungan itu, dalam kenyataan medianya pada 4 Mei lalu, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang menegaskan bahawa pihaknya masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal sebelum melengkapkan laporan siasatan kes membabitlkan mangsa yang merupakan seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri di Hospital Pulau Pinang pada 4 April lalu, sebelum sebelum kemudiannya ditemui meninggal dunia pada 17 April.

Timbul desas-desus mangsa dikatakan menjadi mangsa buli di tempat kerja dan impaknya telah menyebabkan mendiang dikatakan mulai dibelenggu stres. 

Advertisement

Pada 23 Mei pula, media tempatan melaporkan bahawa seorang doktor telah ditemui meninggal dunia di sebuah bilik di sebuah hotel di Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan pada petang Jumaat, 20 Mei difahamkan kerana mengalami masalah kemurungan yang berkemungkinan berkaitan dengan pekerjaannya.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed dilaporkan sebagai berkata, hasil siasatan susulan temubual dengan keluarga mangsa dan polis juga telah menemui beberapa jenis ubat-ubatan berkaitan kemurungan di dalam bilik hotel yang disewa doktor tersebut.

Stres sebenarnya adalah antara penyebab yang dikaitkan dengan kematian. Perkara ini merupakan kerugian kepada negara kerana telah membelanjakan banyak wang ke atas pembangunan golongan profesional seumpama pegawai atau doktor perubatan. 

Awas jika ada tanda-tanda masalah kesihatan mental yang dialami, tidak kira jika anda sendiri seorang doktor perubatan, segera dapatkan bantuan dan sokongan profesional.

Graduan pegawai perubatan merupakan modal insan dan mereka merupakan aset kepada negara apabila sebaik selesai daripada menjalani latihan perubatan atau dikenali sebagai housemanship

Justeru, negara perlu menangani perkara ini dengan baik bagi memastikan ia tidak lagi berlaku pada masa hadapan.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kenapa seseorang itu menghadapi masalah tekanan perasaan, dan stres adalah salah satu daripadanya.

Buli, ‘burnout’

Stres sememangnya faktor penyebab kepada masalah mental. Ia akan dialami apabila seseorang mengalami tekanan perasaan atau emosi disebabkan oleh desakan masa, kewangan dan individu dalam melakukan sebarang pekerjaan atau tugasan. 

Stres juga dialami apabila manusia menghadapi konflik dan persimpangan pemilihan dalam membuat keputusan.

Keletihan emosi yang keterlaluan yang dialami individu sehingga tidak dapat menumpukan fikiran, tidak memfokus, atau memberi perhatian terhadap pekerjaannya akan mencetuskan gejala burnout’ dalam dirinya.

Selain  itu, stres juga dialami apabila seseorang dibuli oleh individu lain. Antara sebab mengapa orang suka membuli ialah kerana faktor peribadi dan juga budaya di tempat kerja. 

Faktor peribadi seperti latar belakang pendidikan dan keluarga boleh mencorakkan personaliti seseorang sama ada suka membuli ataupun tidak.

Budaya tempat kerja juga yang mana tiada kawalan atau mempunyai kawalan yang lemah terhadap elemen buli juga boleh menyebabkan mangsa buli berasa mereka tidak dihargai di tempat kerja. 

Jangan biarkan kemurungan menguasai diri akibat tekanan di tempat kerja. (FOTO HIASAN)

Pendek kata, sekiranya seseorang itu merupakan mangsa buli, mereka mempunyai kemungkinan untuk membalas dendam dan melakukan perkara yang sama kepada orang lain yang dipandang lemah oleh mereka.

Dalam pada itu, stres juga dikaitkan dengan kegusaran (atau anxiety). Ia merupakan perasaan runsing dan bimbang yang melampau. Apabila seseorang itu berada dalam keadaan stres yang terlalu lama, ia akan membawa kepada keadaan kegusaran dan ‘burnout’.

‘Burnout’ berlaku apabila seseorang itu tidak dapat menumpukan fikiran, tidak memfokus, atau memberi perhatian terhadap pekerjaannya disebabkan oleh keletihan emosi yang amat sangat. Perkara ini boleh menjangkiti pekerja lain sekiranya ia tidak ditangani dengan segera. 

Bunuh diri

Burnout pekerjaan boleh menyebabkan seseorang itu tidak hadir bekerja atau melepak dan mempunyai niat untuk berhenti kerja.

Malah, ia mempunyai kaitan dengan kesakitan fizikal seperti sukar bernafas, sakit dada, hilang selera makan dan pening kepala.

Sementara, kemurungan atau dengan kata lain depression adalah satu perasaan apabila seseorang itu mempunyai fikiran untuk membunuh diri. 

Ini berlaku apabila perasaan stres tidak dapat dibendung dan seseorang merasakan tiada jalan keluar daripada masalah itu melainkan dengan membunuh diri bagi menamatkan masalah tersebut.

Justeru, bagi menyelesaikan masalah-masalah tersebut dan memastikan tiada warga kerja yang mempunyai pemikiran negatif atau membunuh diri, sesebuah organisasi perlu membuat tindakan pantas dalam merekabentuk pelan tindakan yang mencakupi setiap tahap organisasi.

Dengan itu, perlindungan adalah menyeluruh bagi melindungi modal insan dan aset organisasi. Setiap tahap organisasi perlu mempunyai komiti yang bertindak bersama bagi membendung perkara ini daripada berlaku. 

Perbuatan buli perlu dilaporkan dan diambil tindakan segera. Selain itu, komiti ini perlu menganjurkan ceramah keagamaan bagi mengisi jiwa pekerja yang kosong agar mereka mensyukuri rahmat dan redha dengan ujian yang diberikan oleh Tuhan.

Majikan juga perlu menunjukkan perasaan empati apabila pekerja mereka merasa tertekan, risau atau burnout. Jelaskan jangkaan mengenai jenis dan jumlah tugasan serta prestasi yang dikehendaki dari para pekerja. 

Sediakan bahan, peralatan dan maklumat kepada mereka agar mereka dapat bekerja dengan selesa dan dapat menyelesaikan tugasan mereka dengan pantas. Kongsikan bersama perasaan kecewa mereka mengenai sesuatu perkara secara produktif. 

Pusat penjagaan mental pekerja

Berikan penghargaan dan pengiktirafan. Pujian juga penting bagi memotivasikan mereka untuk bekerja dengan lebih keras di masa akan datang. Biasanya, pekerja akan lebih bertenaga, kreatif dan boleh diharap apabila mereka dipuji.

Stres boleh dialami apabila seseorang apabila dibuli oleh individu lain di tempat kerja (FOTO HIASAN)

Sementara itu, perlu ada sebuah pusat dalam organisasi yang menjaga kesihatan mental para pekerja mereka. 

Pusat penjagaan kesihatan mental pekerja boleh menganjurkan pemeriksaan mental setiap tahun dan mengadakan atau meraikan hari mental sedunia pada setiap 10 Oktober dengan mengadakan ceramah kesedaran tentang kesihatan mental. 

Mana-mana warga kerja yang gagal dalam pemeriksaan mental tersebut perlu menjalani terapi samada oleh kaunselor atau pakar psikaitri.

Petugas bidang perubatan juga tidak terkecuali memerlukan bantuan dari segi penjagaan mental secara profesional. (FOTO HIASAN)

Organisasi juga perlu memberikan sokongan dari segi kewangan agar pekerja tidak merasa terbeban dengan masalah kewangan mereka. 

Walaupun tidak banyak yang boleh diberikan oleh organisasi, sekurang-kurangnya keprihatinan yang dicurahkan oleh organisasi dapat menenangkan fikiran dan perasaan pekerja bahawa mereka masih disayangi dan diperlukan.

Pendek kata, sokongan dari segi emosi, maklumat dan fizikal adalah penting bagi pekerja untuk dapat menyumbang tenaga, fikiran dan masa mereka kepada organisasi. Ini penting bagi kedayasaingan dan kelestarian organisasi pada masa akan datang.

Prof. Madya Dr. Ilhaamie Abdul Ghani Azmi ialah pensyarah di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya