Umat Islam diajak bermunajat menjelang PRU15

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat mengajak seluruh umat Islam menyertai program Istighathah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula Jumaat depan.

Program yang lebih dikenali sebagai program munajat bagi menghadapi PRU15 itu antara program yang akan dilaksanakan PAS melalui lajnah terbabit sebagai salah satu ikhtiar menjelang PRU15.

Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad, berkata kesedaran politik Islam dalam kalangan masyarakat perlu dipupuk supaya mereka memahami Islam yang diperjuangkan partinya selama ini.

“Setiap awal tahun, kita telah merancang pelbagai program yang perlu kita laksanakan.

“Tetapi apabila sudah semakin dekat dengan pilihan raya, penumpuan kita lebih terarah kepada tarbiah siasah dan politik kepada ahli-ahli untuk mereka terus bekerja memastikan supaya masyarakat memahami Islam iaitu perjuangan yang PAS bawa,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama HarakahDaily bertajuk ‘Agenda Tarbiah Menjelang Pilihan Raya Umum-15 (PRU15)’, di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di sini, hari ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, selain bertujuan bermunajat kepada Allah SWT, program itu turut bertujuan untuk mengukuhkan ukhwah dalam kalangan ahli PAS dan bukan ahli, di samping memohon agar dihindarkan sifat mazmumah dalam diri masing-masing.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan agar masyarakat dapat menilai usaha dakwah yang dilakukan serta bersama-sama dalam perjuangan Islam ini bagi menghadapi PRU15.

Program akan dimulakan dengan tausiyah berbentuk tazkirah pendek, kemudian disusuli bacaan mathurat sughra yang akan diiringi Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail.

Program yang akan diadakan ulung kalinya itu akan dilakukan setiap Jumaat bermula 6 Jun 2022, pada jam 5 petang hingga 5.30 petang di Telegram Group Istighathah PRU15. – HARAKAHDAILY 3/6/2022

- Advertisement -