‘Kita menggerakkan agenda Islam dalam kerajaan’

- Advertisement -

BANGI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, apabila seseorang atau sesuatu pihak itu diberikan kuasa untuk memerintah, Islam memberikan beberapa keutamaan yang perlu dilaksanakan.

Menurut beliau, antaranya firman Allah dalam Surah Al-Hajj ayat 41 yang bermaksud: Iaitu mereka yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan solat, serta menunaikan zakat (sumbangan harta dan ekonomi) dan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar, dan bagi Allah jualah keseluruhan segala urusan.

Katanya, pedoman wahyu itu meletakkan lima keutamaan yang perlu diambil oleh seseorang pemimpin dalam siasah Islam iaitu kepatuhan kepada Allah (melalui ibadah solat), sistem ekonomi yang adil (melalui ibadah zakat), negara berkebajikan (amar makruf), mencegah dan menyekat kemungkaran (nahi mungkar) dan wawasan dunia dan akhirat.

- Advertisement -

“Di atas asas inilah, apabila saya dan YB Datuk Ahmad Marzuk diberikan amanah untuk mengetuai Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kita menggerakkan agenda Islam dalam kerajaan.

“Jika sebelum ini, di pentas-pentas forum termasuk di sidang Parlimen, kami berdua banyak menyentuh isu-isu pentadbiran Islam dan umat Islam, sekarang apabila diberikan amanah di dalam kerajaan, saya fikir inilah masanya kita mengemukakan blue-print ataupun pendekatan yang mampu menyerlahkan keunggulan Islam apabila memerintah.

“Apabila memerintah, kami mengangkat gagasan politik matang dan sejahtera sebagai asas siasah mengikut lunas Islam,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian semasa merasmikan Program Training of Trainers (TOT) Pasukan Jurucakap Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera Peringkat Agensi YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) di sini, malam tadi.

Menurutnya, menjaga Islam dan umat Islam adalah tanggungjawab utama, mengakar umbi semangat penyatuan ummah serta menjunjung nilai integriti dan amanah.

Maka dengan sebab itu, katanya bermula September 2021, pihaknya mengangkat pendekatan “5 Inisiatif Mantap” melalui Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 (PIAGAM C-19) yang menyentuh secara terus kehidupan masyarakat yang ketika itu terjejas terus dengan pandemik itu.

“Alhamdulillah, selepas 100 hari pentadbiran Islam di bawah kerajaan pasca 1 September 2021, sebanyak 208 program telah berjaya dilaksanakan.

“Tentunya ini bukanlah soal kami berdua, tetapi apa yang lebih penting ialah wajah Islam itu sendiri dan sudah tentulah 14 buah agensi hal ehwal Islam Persekutuan,” katanya lagi.

Idris menambah, beliau dan timbalannya berasa amat bertuah kerana mempunyai pasukan yang mantap di semua 14 buah agensi sebagai “pasukan Menteri Agama”.

“Saya secara peribadi amat selesa bekerja dengan Datuk-Datuk dan Datin-Datin semua, anggota penjawat awam yang sentiasa menyokong dan mendukung hala tuju government of the day.

“Tanpa ada sedikit pun prejudis, saya meletakkan sepenuh keyakinan dan kepercayaan kepada tuan puan semua,” ujarnya.

Beliau berkata, untuk melengkapkan pelantar hala tuju pentadbiran Islam, pihaknya mengetengahkan pendekatan “Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera” iaitu blue-print agensi Islam kepada rakyat.

Beliau amat gembira apabila usaha, idea dan sumbang saran yang diwacanakan bersama di peringkat ahli panel, pegawai-pegawai agensi dan juga ketua-ketua agensi telah diterima oleh Perdana Menteri melalui program Pelancaran Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera yang telah diurussetiakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 22 April lalu.

Ini, katanya menunjukkan bahawa Perdana Menteri sendiri telah memberi kepercayaan untuk mencorakkan gagasan Keluarga Malaysia dalam kerangka syariat Islam.

Beliau difahamkan buku yang telah dilancarkan telah diedarkan kepada semua kementerian, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri sebagai rujukan awal untuk pembuat dasar dan polisi peringkat persekutuan dan negeri.

Seterusnya, ujar beliau sebulan selepas itu Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) juga telah mengadakan Kongres Nasional Islam, Keluarga Malaysia dan Keharmonian dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Dalam tempoh tersebut, katanya TV Alhijrah, Radio IKIM bersama Penyiaran JAKIM turut memainkan peranan penting mewar-warkan pendekatan itu agar ia dapat dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Idris melahirkan keyakinan banyak lagi program yang bakal menyusul selepas ini.

Sehubungan itu, beliau harap agensi-agensi di bawahnya dan timbalannya akan lebih agresif mempromosikan agenda ‘Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera’.

“Malah, program pada hari ini adalah program penting sebagai penanda aras sejauh mana program-program akan datang akan memberi impak besar untuk membina dan mengukuhkan kesejahteraan rakyat Malaysia secara amnya,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 2/6/2022

- Advertisement -