Demam Liga Juara-Juara turut melanda Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Demam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi turut melanda Kelantan apabila ribuan anak muda berhimpun menyaksikan aksi berprestij tersebut di dataran parkir pasar raya Mydin di Bandar Baru Tunjong.

Tayangan melalui skrin besar perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah tersebut menyaksikan juara beberapa kali Real Madrid mengulangi kejayaan apabila mengatasi Liverpool 1-0 hasil hantaran menarik Los Blancos.

Anggota Exco kerajaan negeri Wan Roslan Wan Hamat turut hadir bersama anak-anak muda menyaksikan perlawanan tersebut. Hadir sama Timbalan Exco Zuraidin Abdullah, Adun Tendong Rozi Muhamad dan Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) Nasruddin Mahmud Muhaidin.

- Advertisement -

Program anjuran U-Bes itu turut dimeriahkan dengan cabutan nombor bertuah.

Wan Roslan berkata, tayangan melalui skrin besar itu merupakan aktiviti untuk anak-anak muda yang sering diadakan di Kelantan sebelum ini sebagai meraikan minat golongan belia.

Katanya program tersebut tidak dapat diadakan beberapa tahun berikutan penularan wabak Covid-19 sejak 2020.

“Malam ini kita kembalikan semula program skrin besar untuk menyaksi kehebatan pemain peringkat dunia beraksi sehingga menarik peminat bola sepak seluruh dunia,” katanya pada program tersebut.

Wan Roslan juga berkata, kerajaan akan memulakan kerja-kerja membangunkan Kompleks Sukan di Bukit Merbau pada akhir tahun ini atau selewat-lewatnya Januari 2023.

Menurutnya kompleks tersebut antara lain akan mengandungi stadium utama, stadium hoki, lapang sasar dan sebagainya sebagai lokasi penganjuran sukan peringkat negeri dan kebangsaan.

Selain itu katanya turut dicadang dibangunkan di lokasi tersebut sekolah sukan bagi melahirkan atlet berbakat di Kelantan.

“Manakala Pusat Akuatik pula bakal dibina di bandar Madinatul Salam Tiong melibatkan kos kira-kira RM20 juta,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 29/5/2022

- Advertisement -