Rumah Terbuka: Gerai PAS Taiping muncul juara

Nor Sinah (kiri) bersama Mahani Ahmad.
- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

IPOH:
PAS Taiping muncul juara antara gerai terbaik dari 24 kawasan yang mengikuti penyediaan makanan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat 2022 di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Menurut wakilnya, Noor Sinah Saidin, 56, persediaan gerai dibuat awal dengan menggunakan konsep minang.

“Persediaan kami buat awal, cuma untuk konsep gerai ini diketuai oleh Encik Kamaruzaman. Yang lain kami bantu membantu untuk sambutan hari raya ini.

- Advertisement -

“Semalam kami mula buat persiapan, lepas asar hingga pukul 12 malam,” katanya ketika ditemui selepas menerima mock cheque bernilai RM2,000, di sini.

Menurut Noor Sinah, buah-buahan rojak dibawa khas dari Taiping untuk dijamukan kepada 1,000 pengunjung.

“Rojak tu kami bawa dari Taiping, kos buah dalam RM1,000, rojak dalam RM600 untuk 1,000 orang tapi beli ekstra, hari ini rojak disediakan sebanyak 1,400 bekas besar.

“Dari pukul 11 buka pukul 1.30 petang sudah licin,” katanya yang teruja dengan sambutan orang ramai.

Ujarnya lagi, serbuan orang ramai ke gerai rojak memaksa pihaknya menyediakan talam untuk memudahkan lagi pengunjung mengambil rojak, bahkan gerai juga dibuka di depan dan belakang.

Ketua Lajnah Program Nasional Kawasan Taiping, Mahani Ahmad, 63, pula berkata, keistimewaan rojak yang disediakan pihaknya adalah buah-buahan yang segar.

“Malam tadi kami cuci, pagi tadi kami potong, kami pilih buah yang baguslah.. kita ada jambu, timun jepun, timun biasa, jambu air, jambu batu, nenas dan kedondong.

“Kita tak kacau semua, kita bubuh buah dulu, baru letak kuah rojak, ni orang makan segarlah, di atas letak bijan dan kacang,” katanya.

Menurutnya yang pertama kali mengikuti majlis rumah terbuka Aidilfitri PAS sekali gus menang dalam pertandingan gerai sangat menyeronokkan.

“Semua orang saling bekerjasama tidak kira muslimat atau muslimin.

“Sambutan hari raya di peringkat PAS sangat bagus, walaupun diadakan di Perak tetapi kerjasama itu meluas, yang mana PAS negeri lain sponsor kita menggunakan tenaga,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/5/2022

- Advertisement -