Ini Perdana Menteri rakyat: Betul-betul Keluarga Malaysia

- Advertisement -

PUAS hati! Tegas dan tepat. Itu ringkasan yang boleh kita boleh sebutkan mengenai keputusan kerajaan kelmarin. Dua hal paling utama iaitu penetapan harga siling dan larangan keluar ayam. 

Biarpun suara sumbang dan jeritan bingit pemuka kartel telah kedengaran, namun yakinlah kabinet menteri sekalian bahawa rakyat bersama kalian. 

- Advertisement -

Langkah Kerajaan menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 seekor dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) adalah cukup bagus. 

Hingga kini hanya RM50 juta subsidi telah dibayar kepada penternak yang kebanyakannya adalah syarikat kecil manakala pemain-pemain utama sektor ini masih degil dan menolak tawaran kerajaan. Mereka mahu pasaran yang tentukan harga maksimum bagi ayam mereka. Tamak.

Rakyat turut menyokong kenyataan YAB Perdana Menteri untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan kartel yang tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan setelah Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menyiasat perkara ini.

Dalam situasi dunia diancam krisis makanan dan semua orang sedang bercakap hal ‘food security’, tindakan Kerajaan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini, sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil amat tepat sekali. Keutamaan Kerajaan adalah rakyat sendiri, terima kasih Perdana Menteri.

Selain itu, penyediaan stok penimbal ayam dengan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi adalah amat tepat. Ia sedikit sebanyak dapat membantu menstabilkan harga pada masa hadapan.

Pemansuhan Approved Permit (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam yang bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport sekali gus menyediakan lebih banyak sumber bekalan akan memastikan monopoli sektor ini dapat dileraikan. Cadangan kabinet untuk menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam yang akan dibawa masuk ini dilihat wajar dan sejajar dengan pemansuhan AP itu. Tahniah sekali lagi. 

Akhir sekali kita juga mahu puji keberanian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang amat keras pendiriannya meskipun pihak kartel cuba mempertikaikan keputusan kerajaan. Mereka sepatutnya boleh menjangkakan langkah drastik itu akan diambil kerajaan ekoran desakan ketiadaan bekalan ayam yang mencukupi di pasaran.

Kalaulah semua pihak bekerjasama sejak awal, segala keputusan tegas itu mungkin tidak perlu. Kini marilah kita semua bergandingan tangan menyelesaikan isu bekalan makanan ini. Anda kartelkah, peniaga kecilkah, kerajaan, masyarakat dan semuanya, wajib seiring dan sejalan mendepani krisis makanan dunia yang kini telah kelihatan bermula.

DR SHAHID IZANI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 25/5/2022

- Advertisement -