Rakyat rayu kerajaan pertahankan harga petrol

- Advertisement -

Oleh  ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Kerajaan dirayu agar mempertahankan harga petrol dan meneliti dengan lebih mendalam isu tersebut bagi membantu urusan seharian rakyat.

Tinjauan HarakahDaily di sekitar ibu kota hari ini mendapati kesemua mereka yang ditemubual mahu agar kerajaan dapat mempertahankan harga petrol semasa memandangkan harga petrol dijangka akan naik, selain berharap kerajaan dapat melaksanakan langkah dan strategi yang efisien bagi membantu menyelesaikan  kesusahan yang sedang dihadapi oleh rakyat.

- Advertisement -

Seorang pelajar di Institusi Pengajian Awam Swasta (IPTS), Hardeep Kaur Singh, 27, berkata, kerajaan sewajarnya memberikan perhatian dengan lebih terperinci berhubung masalah yang dihadapi oleh rakyat dan melaksanakan strategi terbaik bagi mempertahankan harga petrol  semasa walaupun harga petrol dunia sudah dilihat meningkat secara mendadak.

Menurutnya, isu tentang kenaikan harga minyak petrol itu sebenarnya sudah dijangka terutamanya dalam kalangan individu yang menggunakan minyak petrol RON95, memandangkan kenaikan petrol berkenaan merupakan situasi yang turut berlaku di seluruh dunia.

Hardeep Kaur

“Kerajaan sememangnya telah melakukan pelbagai usaha terbaik buat rakyat kerana seperti yang kita dapat lihat di seluruh dunia, kenaikan petrol ini sedang berlaku di negara-negara lain seperti United Kingdom (UK).

“Saya berpandangan bahawa kerajaan perlu melihat secara lebih mendalam bagi membantu orang ramai kerana hakikatnya, sebagai rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan sendiri, perkara ini agak membebankan kerana gaji tidak naik tetapi harga barang-barang telah naik secara drastik,” ujarnya ketika ditemui HarakahDaily di sini.

Meluahkan dengan lebih mendalam, Hardeep berkata, bagi golongan muda yang baru mula bekerja juga agak sukar untuk meneruskan kehidupan.

“Ia adalah memandangkan kerana pengangkutan awam tidak begitu efisien ketika ini yang tidak merangkumi semua kawasan di Lembah Klang, khususnya di kawasan kediaman ditambah dengan masalah kesesakan lalu lintas yang  juga turut menambahkan tekanan kepada rakyat Malaysia,” tegasnya.

Rakyat Malaysia menggesa kerajaan agar melihat isu kenaikan harga petrol secara lebih mendalam bagi membantu mereka menghadapi beban ekonomi semasa.

Sementara menurut juruteknik, Ahmad Rozi Shaari, 49, pula, walaupun sekarang harga minyak petrol RON 95 masih terkawal disebabkan subsidi kerajaan, namun dia berharap agar kerajaan dapat terus mengawal harga petrol ini.

Menurutnya, dia melihat bahawa harga petrol ini memang akan naik disebabkan pelbagai faktor akibat kesan perang antara Rusia dengan Ukraine dan beberapa faktor yang lain.

Ahmad Rozi

Namun, Ahmad Rozi berharap  agar kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan harga petrol terkawal, tanpa mengira ia akan memberi manfaat kepada mana-mana golongan termasuklah golongan B40, M40 mahupun T20. 

“Kesan kenaikan harga petrol sekiranya tiada subsidi kerajaan nanti sudah semestinya menyebabkan ia bakal memberikan beban kepada rakyat di negara ini,” tegasnya yang berulang kerja setiap hari menggunakan motosikal dan kereta.

Justeru katanya, dia berharap agar kerajaan boleh memberikan bantuan bersasar kepada rakyat Malaysia dan secara lebih menyeluruh. 

Dalam pada itu, pesara swasta, Hamdan Ali, 65, menyeru kerajaan agar meneruskan subsidi kepada semua barang terutamanya petrol dan memfokuskan kepada masalah yang membelenggu rakyat.

Dia menaruh harapan agar kerajaan memberikan subsidi dan bantuan kepada semua golongan  tanpa mengira B40,M40, T20 dan tidak hanya fokus kepada satu golongan tertentu.

Kerajaan diseru agar meneruskan subsidi kepada semua barang terutamanya petrol dan memfokus kepada masalah yang membelenggu ekonomi rakyat.

“Saya juga membayar cukai kepada negara dan membeerikan sumbangan kepada negara. Jadi, saya memohon kerajaan memberikan bantuan kepada golongan seperti saya ini,” katanya.

Di samping itu ujarnya lagi, dia ingin mendesak semua ahli politik agar menghentikan politik kepartian yang hanya mementingkan kedudukan tetapi lebih memikirkan tentang rakyat.

“Saya beri contoh, tiada satu pun persoalan berkaitan ekonomi rakyat dibincangkan sepanjang tiga hari Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) bersidang. Tiada satu pun kesusahan rakyat diutarakan oleh mereka. 

Hamdan Ali

“Saya memohon agar kerajaan tidak menghabiskan duit dengan projek-projek yang tidak memberi maanfaat kepada rakyat serta melakukan sesuatu kepada rakyat terutamanya orang Melayu kerana setelah hampir 70 tahun kita merdeka, kita masih lagi dihimpit kemiskinan,” katanya.

Dalam pada itu, setakat ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan masih mengekalkan harga minyak bagi RON95 pada harga sekitar RM2.05 berbanding kos sebenar yang melebihi RM4.

Menurutnya, kerajaan akan terus mengawal kenaikan harga demi membantu rakyat dan juga menyokong momentum pemulihan ekonomi negara serta kerajaan sedang mengkaji semula mekanisme pemberian subsidi  petrol supaya ia lebih bersasar dan menumpukan kepada golongan rentan.

“Dengan dasar subsidi ini, kadar inflasi agak rendah dan diunjurkan antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus.

“Kalau kita nak bandingkan kadar inflasi Malaysia dengan kadar inflasi di negara-negara lain, terutamanya apa yang diunjurkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), IMF mengunjurkan kadar inflasi bagi negara maju adalah 5.7 peratus dan bagi negara membangun ialah 8.7 peratus.

“Kadar inflasi Mac 2022 bagi Malaysia hanyalah 2.2 peratus,” katanya. -HARAKAHDAILY 24/5/2022

- Advertisement -