Ahli politik sibuk nak PRU, Undi18 bagaimana?

- Advertisement -

SABAN hari, ada sahaja kenyataan-kenyataan media yang dikeluarkan oleh sebahagian ahli politik yang berpandangan Pilihan Raya Umum (PRU) mesti dijalankan dalam masa terdekat yang kononnya ingin mencapai ‘kestabilan politik’.

- Advertisement -

Pelbagai alasan dikeluarkan kononnya ingin mengatakan kerajaan yang sedia ada hari ini tidak stabil dan sebagainya agar membolehkan PRU15 berlaku sebelum tempoh yang sepatutnya. Naratif ini dicipta semata-mata kerana kepentingan peribadi atau parti politik yang ingin dicapai di samping mempertaruhkan nasib rakyat.

Namun begitu, adakah mereka mengambil berat soal kesediaan rakyat dalam PRU ini khususnya di kalangan anak muda bagi menyahut Undi18? Adakah anak muda sudah bersedia untuk menghadapi PRU sekiranya ia dilaksanakan segera? Sudah pasti persoalan ini boleh dijawab dengan melihat bagaimana sambutan penglibatan anak muda dalam PRN Johor sebelum ini.

Oleh itu, GAMIS menggesa agar ahli politik berhenti bermain ‘wayang’ politik serta segera mengambil langkah yang proaktif dan serius dalam memastikan pengundi baru yang akan mengundi pada PRU akan datang ini betul-betul bersedia. 

Kalianlah (ahli politik) yang meluluskan secara bersama usul had umur mengundi diturunkan daripada 21 ke 18 tahun. Maka kalian jugalah harus bertanggungjawab merealisasikannya bukan hanya bersikap seperti melepaskan batuk di tangga.

Kita tidak ingin anak muda yang menjadi sebahagian pengundi terbesar dan baru ini tidak berpartisipasi dalam pemilihan wakil rakyat akan datang. Yang akhirnya akan menyebabkan kerugian besar pada negara kerana anak muda yang lahir ini tidak faham mengenai kepentingan berpolitik.

Justeru itu, ini menjadi tanggungjawab ahli politik dalam memastikan penerapan serta pendidikan terhadap kesedaran politik di peringkat anak muda ini dipergiatkan dengan lebih rancak dan berkesan.

IZZUDDIN AZIZ 
Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) – HARAKAHDAILY 23/5/2022

- Advertisement -