Bagaimana Terengganu mengukuhkan ‘food security’ tempatan

- Advertisement -

ISU ‘food security’ atau jaminan bekalan makanan sudah mula diwacanakan secara arus perdana dalam 2 3 tahun kebelakangan. Namun kelihatannya perkembangan semasa dunia apabila Ukraine yang menjadi antara pembekal gandum terbesar dunia diheret ke kancah peperangan bakal memburukkan lagi keadaan krisis makanan yang kini bakal menghambat dunia. Russia sebagai pembekal baja di peringkat global pula dikenakan sekatan ekonomi yang menyaksikan kos pertanian kini meningkat.

- Advertisement -

Kedudukan Malaysia Malaysia dalam Indeks Sekuriti Makanan Global atau Global Food Security Index (GFSI) pada 2021 adalah pada ranking 39 daripada 113 negara. Di peringkat Asia Pasifik Malaysia berada pada ranking ke 8 manakala dalam kalangan negara Asia Tenggara Malaysia berada pada kedudukan ke-2 selepas Singapura. Malaysia dilihat berada pada kedudukan yang baik namun perlu kita cermati, food security tidak sama dengan tahap sara diri (SSL) bagi bekalan makanan. Hal ini demikian kerana, meskipun berada pada kedudukan GFSI yang baik, hampir 60% bekalan makanan Malaysia adalah diimport.Misalnya, pada 2020, kerajaan terpaksa berbelanja sebanyak RM55.4 bilion. Itu nilai makanan diimport Malaysia berbanding RM45.3 bilion pada 2015 iaitu peningkatan sebanyak 22.3%. Sekiranya berlaku krisis atau gangguan pada rantaian bekalan makanan, sudah pasti jaminan bekalan makanan Malaysia turut terjejas. Ini lah senario yang berlaku pada waktu ini.

Sebagai sebuah negara khatulistiwa yang dikurniakan nikmat cuaca panas lembap dan tropikal yang sesuai untuk penanaman dan pertanian. Adalah amat rugi sekiranya kelebihan ini tidak dimanfaatkan. Namun para petani juga berdepan cabaran kelesuan tanah dalam cubaan mengusahakan tanah agar benar-benar sesuai untuk pertanian skala besar serta dapat menghasilkan kualiti tanaman yang baik. Faktor ini turut dipengaruhi faktor baja yang memerlukan ulasan lain.

Apabila ditelitit terdapat juga usaha bagi pembangunan sektor pertanian dan yang berkaitan tidak dirancang dengan begitu sistematik dan telus. Contohnya projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang dirancang untuk membangun serta membekalkan pengeluaran daging lembu untuk keperluan negara, namun akibat perancangan yang tidak cermat serta diselubungi isu integriti,NFC menemui ‘ajal’.

Pentadbiran kerajaan Terengganu menerusi Exco Pertanian,Industri Makanan,Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri yang dipimpin YB Dr Azman wajar diberikan pujian atas visi dan pandangan jauh terhadap isu bekalan makanan.Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu (PSPNT) 2019-2023 telah dirancang sebagai suatu solusi meringankan beban rakyat dengan objektif besar meningkatkan ‘food security’ negeri.

Antara inisiatif yang digerakkan Terengganu bagi mengukuhkan perkembangan industri pertanian di negeri adalah seperti berikut:

i) Memperuntukkan 7.3 juta ringgit kepada sektor pertanian menerusi belanjawan negeri 2022.

ii) Memperuntukkan RM1 juta bagi pilot projek yang sedang dilaksanakan di Rancangan Tanah Baru (RTB) Pengkalan Aman di Permaisuri Setiu dan RTB Kg Rahmat Langkap yang menjadi perintis projek pembangunan tanah terbiar. Ia merupakan sebuah kerjasama antara Kerajaan negeri,TADC serta pemilik-pemilik tanah dalam mengusahakan tanaman Musang King dan Harum Manis@Pauh Wongi.

iii) Membangunkan kandang lembu sado berkelompok di Kg Chabang Kerteh.2 ekor induk telah melahirkan zuriat prince of sado.

iv) Penambahbaikan Pusat Veterinar bagi Daerah Kemaman iaitu PV Kerteh, PV Cheneh dan PV Air Puteh yang melalui proses tambah baik dari masa ke semasa.

v) Memperuntukkan RM500 ribu untuk membina rumah sembelihan di Marang yang merupakan satu-satunya daerah yang belum memiliki rumah sembelihan.

vi) Melabuhkan tukun sebanyak 9 unit bernilai RM216 ribu di Perairan Kemasik pada 1 Oktober 2021 bagi merancakkan penghasilan tangkapan laut.

vii) Penetapan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu. Antara senarai projek-projek yang telah diusahakan kerajaan:

  • Projek mega tanaman lada hitam di Bukit Bidong Setiu (386.4 juta)
  • Projek pengeluaran benih kerapu hibrid di Limau Nipis Setiu (8 juta)
  • Projek induk pengganda kambing tenusu di Kg Bari (1 juta)
  • Projek tanaman nenas MD2 di Pak Kancil (10 juta)
  • Projek ternakan lembu semi fidlot di Kg Pak Kancil (7 juta)
  • Projek tanaman ubi vitato berkelompok di Kg Banggol (560 ribu)
  • Projek tanaman napier di Kg Setia Jaya Merang (2 juta)
  • Projek tanaman kelapa di Kg Banggol Mukim Tasek (30 juta)
  • Projek nursery pertanian di Kg Putera Jaya (1 juta)
  • Projek pembangunan jeti pendaratan ikan di Sg Merang (25 juta)
  • Projek tanaman musang king di Kg Hulu Seladang & Sg Liring (4.8juta)
  • Projek ternakan ayam bersepadu di Kg Banggol (10 juta)
  • Projek tanaman kontan di Kg Setia Jaya Merang (2.4 juta)
  • Projek pembangunan tanah terbiar di RTB Pengkalan Aman dan Kg Rahmat dengan tanaman MK dan Harum Manis
  • Projek ternakan ketam nipah oleh YDSM
  • Projek perluasan kawasan jelapang padi fasa 2 Daerah Setiu

viii) Pemulihan kawasan sawah padi Kg Pengkalan Nangka, Kg Bharu dan Tok Saboh berjumlah ribuan ekar yang terbiar disebabkan kerosakan empangan sejak 2012, berjaya dipulihkan kembali.

ix) Sekretariat Tahun Pertanian Terengganu 2021 sedang menyediakan pelan perancangan kearah penubuhan Perbadanan Pertanian Negeri Terengganu.

x) Melaksanakan penguatkuasaan Kedah-Kaedah Perikanan Darat Negeri Terengganu yang dibaca bersama Akta Perikanan 1985.Akta Perikanan dahulu hanya mempunyai peruntukan untuk mengawal sektor perikanan laut sahaja.

xi) Peruntukan RM2.5 juta untuk menyelesaikan masalah infrastruktur pengairan dan kesuburan tanah sawah di kawasan luar jelapang padi seluas kira-kira 7000 hektar.

xii) Menaik taraf kawasan penanaman buah-buahan sedia ada dan membuka kawasan baru bagi penanaman buah-buahan terpilih. Pada tahun 2020 sebanyak RM1.7 juta diperuntukan untuk pembangunan kawasan, infra pengairan, pemasaran dan bantuan input serta insentif penanaman buah-buahan.

xiii) Kerajaan juga menyediakan kemudahan insentif ladang kontrak.

xiv) Terbaharu, Terengganu bakal memiliki kilang makanan ternakan sendiri di Bukit Kor, Marang dengan kos 20 juta ringgit hasil kerjasama GLC dan syarikat swasta bagi meringankan kos pengurusan haiwan ternakan tempatan.

Usaha pelan strategik ini mula menampakkan hasil dengan peningkatan tahap sara diri (SSL) makanan ruji padi dimana pada tahun 2018 adalah sebanyak 43% kemudian meningkat kepada 48% pada 2019 seterusnya pada 2020 pada paras 53% dan akhirnya dan SSL 2021 mencapai 55.8%

Jika dibandingkan semula tahap kedaulatan makanan negara masih berada pada paras tidak memuaskan atas faktor kebergantungan yang tinggi pada import makanan. Maka, usaha meningkatkan perolehan hasil makanan negeri oleh kerajaan Terengganu yang telah dianugerahkan tempat pertama bagi Program Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGap & My Organic) wajar dijadikan contoh oleh kabinet dan kerajaan negeri lain.

Kita sepatutnya memanfaatkan peluang keadaan sekarang dengan memperkasakan kesedaran akan kepentingan kedaulatan jaminan bekalan makanan negara. Kebergantungan yang keterlaluan pada import makanan serta pengurusan rantaian makanan tidak cekap sehinggakan dibelenggu cengkaman kartel adalah satu perkembangan yang tidak elok untuk kemajuan negara.

UTHMAN CHE AZIZ , Felo Projek Anak Muda Islam (Pami). – HARAKAHDAILY 22/5/2022

- Advertisement -