Kilang simen Gua Musang: Bukti Kerajaan Kelantan buat kerja

- Advertisement -

SEWAJARNYA sebagai warga rakyat boleh berusaha mendapatkan maklumat yang benar dan memahami cara menilai usaha-usaha Kerajaan Negeri Kelantan.

- Advertisement -

Secara dasarnya, perkara paling utama yang perlu dibuat oleh mana-mana kerajaan adalah untuk berusaha sebaik mungkin membawa kesejahteraan menyeluruh kepada rakyat. 

Saya ingin mengajak kita menghayati makna ‘usaha’. Untuk kita mudah faham, mari kita teliti perjalanan Datuk Lee Chong Wei dalam sukan badminton. Seluruh rakyat Malaysia akan bersetuju, Datuk Lee Chong Wei adalah ‘wira negara’. 

Adakah beliau menjadi wira negara kerana beliau memenangi semua pertandingan yang beliau sertai? Sudah tentu tidak. Tetapi kerana kita semua tahu beliau telah berusaha sehabis baik. Hatta jika beliau tidak memenangi pertandingan, beliau memenangi hati kita semua. 

Inilah cara adil dalam menilai ‘usaha’. 

Sesiapa sahaja juga perlu adil, lebih-lebih lagilah rakyat sendiri dalam menilai usaha Kerajaan Kelantan.

Dalam pembinaan kilang simen ini, usahasama dilakukan dengan ASN Cement Sdn Bhd kerana Kerajaan Kelantan ingin berusaha sehabis baik membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Tetapi, usaha yang besar sudah tentu perlu melalui proses lebih kompleks dan terdedah kepada cabaran-cabaran luar jangkaan.

Pada 25 Februari 2015, berlangsungnya Majlis Pecah Tanah oleh YAB Menteri Besar Kelantan. Tetapi, pada tahun 2016 rakan kongsi pelabur ASN menarik diri dari projek tersebut.

Adakah ini salah Kerajaan Kelantan? Sudah tentu tidak. Adakah ini perkara yang Kerajaan Kelantan mampu untuk meramalnya? Sudah tentu tidak. Bahkan, sudah tentu Kerajaan Kelantan tidak mahu hal sedemikian terjadi.

Tetapi, soalan yang lebih utama, adakah kita melihat usaha Kerajaan Kelantan untuk memajukan negeri? Maka jawapannya ‘sudah tentu’. Rakyat yang menilai dengan adil akan gembira mempunyai kerajaan begini. Kerajaan yang sentiasa berusaha dan bekerja.

Rakyat yang menilai dengan adil, akan mengekalkan kerajaan yang jelas berusaha dan bekerja. Berusaha tetapi tidak berjaya, jauh lebih baik dari tidak mempunyai apa-apa idea dan tidak gagal. 

Pada hemat saya, kerajaan yang terus berusaha, yang terus bekerja, layak digelar ‘wira kepada rakyat’.

Sepatut dimusykilkan adalah seorang bekas Exco Kerajaan Negeri Kelantan dahulu dari DUN Salor yang kini seorang pimpinan PAN. Banyak projeknya seperti diketahui umum berdepan pelbagai masalah dan tidak menjadi. Ada sesiapa nak kata dia ‘gagal’?

Perkara patut dirisaukan dan dibincangkan oleh rakyat adalah para pemimpin atau kerajaan yang berdepan perbicaraan penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa dan mengaut untung untuk diri, keluarga dan kroni serta parti mereka demi kepentingan peribadi.

Cerita ini bukan di Sri Lanka sahaja, tapi di Malaysia!

MUHAMMAD NABIL ZULKIFLI 
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 21/5/2022

- Advertisement -