Indonesia mulakan larangan sepenuhnya eksport minyak sawit

JAKARTA: Indonesia mula menguatkuasakan larangan sepenuhnya terhadap eksport minyak sawit dengan tindakan pengeluar terbesar dunia komoditi itu berisiko menjejaskan kestabilan pasaran minyak sayuran global yang telah mencecah harga puncak.

Kerajaan di negara paling ramai penduduk di Asia Tenggara, bimbang kekurangan dan peningkatan kos boleh mencetuskan ketegangan sosial, menguatkuasakan larangan itu semalam, sebagai langkah untuk mendapatkan bekalan produk itu yang digunakan dalam pelbagai barangan seperti coklat dan kosmetik.

Advertisement

Negara kepulauan itu berdepan kekurangan minyak masak domestik serta harga yang melambung tinggi, dengan pengguna di beberapa bandar, terpaksa beratur berjam-jam di hadapan pusat pengedaran untuk membeli komoditi keperluan itu pada kadar subsidi.

Dalam penjelasan saat akhir Rabu lalu, kerajaan menjelaskan sekatan itu merangkumi semua eksport biji minyak dan bukan hanya produk minyak makan seperti sebelum ini.

“Semua produk, termasuk minyak sawit mentah, dilindungi oleh peraturan Kementerian Perdagangan dan akan dikuatkuasakan,” kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, berkata membekalkan 270 juta penduduk negara itu adalah keutamaan tertinggi kerajaannya.

“Sebagai pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, ironisnya kami menghadapi kesukaran mendapatkan minyak masak,” katanya.

Indonesia mengeluarkan kira-kira 60 peratus daripada minyak sawit dunia, dengan satu pertiga digunakan oleh pasaran domestik. India, China, Kesatuan Eropah dan Pakistan adalah antara pelanggan eksport utamanya.

Kekurangan selama berbulan-bulan diburukkan dengan peraturan yang lemah dan keengganan pengeluar untuk menjual di pasaran domestik kerana harga antarabangsa yang tinggi menjadikan eksport lebih menguntungkan.

Jakarta merancang untuk menyambung semula eksport apabila harga minyak masak pukal di pasaran tempatan turun kepada 97 sen (14,000 Rupiah) seliter, setelah melonjak 70 peratus dalam beberapa minggu kebelakangan ini kepada AS$1.80 (26,000 Rupiah).

Mengikut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, minyak sayuran adalah antara beberapa barangan makanan ruji yang menyaksikan harga mencecah paras tertinggi dalam beberapa minggu kebelakangan ini, berikutan serangan Rusia di negara pertanian utama, Ukraine.- AFP