Ukraine dan Palestin: Talam dua muka Barat

- Advertisement -

PENGIKTIRAFAN Vladimir Putin terhadap Donetsk dan Luhansk sebagai wilayah bebas di Timur Ukraine telah membuka jalan kepada peluasan cengkaman Rusia ke atas Ukraine. Sejak bermulanya operasi khas tersebut, kita telah melihat bagaimana agenda boikot dan sekatan secara global telah dilaksanakan oleh Barat dari segenap sudut terhadap Rusia.

Terbaharu minggu lalu, Microsoft mengumumkan bahawa ia telah menghentikan semua jualan perkhidmatan dan produk baharu di Rusia sambil mengecam serangan Rusia ke atas Ukraine sebagai amat tidak wajar dan menyalahi undang-undang antarabangsa.

Malah pasukan sukan kebangsaan Rusia juga tidak terlepas, dengan FIFA mengumumkan larangan ke atas pasukan bola sepak Rusia daripada menyertai kelayakan Piala Dunia FIFA 2022 yang akan datang. Usaha Barat tersebut sekali imbas dilihat kemungkinan berkesan dalam usaha untuk mengekang penularan pengaruh dan dominasi Rusia yang semakin meningkat di peringkat antarabangsa serta dilihat mencabar kuasa hegemoni mereka.

- Advertisement -

Tetapi mengapa sekarang, dan mengapa mengamalkan sikap double standard?

Apa yang berlaku dalam konflik Rusia-Ukraine ketika ini boleh dijadikan iktibar dan pengajaran terhadap Dunia Islam dalam perjuangannya memerdekakan bumi Palestin dan membela nasib warganya daripada penjajahan, pencerobohan dan kezaliman berterusan rejim zionis Israel.

Dilancarkan pada tahun 2005, gerakan BDS Palestin (boycott, diversified and sanction) diwujudkan terhadap rejim zionis Israel yang menggesa untuk memboikot, pengalihan sumber dan mengenakan sekatan yang berkesan terhadap produk dan barangan Israel atau apa sahaja berkaitan dengan negara haram Israel secara keseluruhan.

Diilhamkan oleh gerakan anti-apartheid Afrika Selatan, gerakan BDS menggesa tindakan untuk menekan regim zionis Israel supaya mematuhi undang-undang antarabangsa termasuk segala resolusi PBB. Ketika ini, Barat dilihat dengan begitu cepat berjaya “membakar“ kemarahan komuniti dunia lantas berjaya mengasingkan Rusia dari pentas antarabangsa. 

Dunia Islam juga perlu “membakar“ tahap kemarahan komuniti antarabangsa apabila setiap kali rejim zionis Israel meneruskan serangan dan pencerobohan ke atas Palestin termasuk segala kezaliman dan pembunuhan yang dilakukan ke atas rakyat Palestin. Kita perlu menggembleng segala usaha dan tenaga untuk memperlihatkan kepada dunia akan segala kekejaman yang berlaku ke atas Palestin.

Minggu ini sahaja sudah dua kali tentera udara rejim zionis Israel telah melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza. Dalam dua minggu ini juga sudah lebih dari tiga kali polis dan tentera rejim zionis Israel menceroboh pekarangan Masjidil Aqsa dan melakukan kekerasan terhadap warga Palestin yang sedang beribadah termasuk menangkap mereka namun ia menjadi lesu dan tidak mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan komuniti antarabangsa.

Mungkin berita mengenai konflik Rusia-Ukraine lebih mendominasi aliran dan naratif dalam kalangan komuniti dunia tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan utama kerana apa yang pasti ialah kegagalan Dunia Islam untuk bersatu hati dalam mengangkat agenda isu Palestin ke tahap yang lebih tinggi dan dijadikan perjuangan utama.

Jika seluruh Dunia Islam bersama-sama berjuang dan mengangkat isu Palestin sebagaimana Barat membela Ukraine ketika ini dengan mengerahkan seluruh kudrat dan tenaga mereka untuk memberikan segala bentuk bantuan dan mengenakan segala bentuk sekatan serta pemulauan terhadap Rusia, sudah pastinya Palestin dan warganya telah lama bebas dan merdeka.

Dengan mengambil pendekatan sebagaimana yang dilakukan oleh gerakan BDS Palestin ketika ini dan meletakkannya dalam platform yang lebih kukuh dan besar seperti di dalam OIC mahupun Liga Arab, sudah pasti rejim zionis Israel dan penyokong-penyokongnya menghadapi masalah besar dalam usahanya untuk meneruskan penjajahan dan segala bentuk kezaliman terhadap Palestin.

Sampai bila Dunia Islam harus mengambil pendekatan tunggu dan lihat?  Jelas sudah ketika ini Barat mengambil pendekatan talam dua muka terhadap isu Palestin namun adakah kita Dunia Islam juga mahu dilhat bersikap “double standard“ dalam isu Palestin?

Dunia Islam mesti berazam untuk menentang penjajahan secara sistematik yang dilakukan oleh rejim zionis Israel terhadap Palestin, melakukan tindakan boikot dan sekatan dengan menggalakkan penggunaan undang-undang antarabangsa. Sikap “double standard“ yang diamalkan oleh Barat juga perlu diperjelaskan kepada komuniti dunia dalam usaha untuk memperjuangkan nasib Palestin.

Barat sebenarnya tidak serius dalam menangani jenayah yang dilakukan oleh rejim zionis Israel terhadap Palestin. Kita lihat bagaimana Barat menggunakan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) secara selektif untuk menekan seteru utama mereka iaitu Rusia dengan terus melancarkan siasatan jenayah perang terhadap Rusia dalam konflik Rusia-Ukraine.

Seterusnya “sepantas kilat“ Ketua Pendakwaraya ICJ terus melawat Ukraine untuk tempoh masa  tujuh hari, namun dalam masa sama tiada seorang pun pendakwaraya dari ICJ  datang melawat Palestin walaupun telah lebih 70 tahun rejim zionis Israel menjajah Palestin. ICJ dan organisasi antarabangsa yang lain tersangat lambat bertindak apabila ia membabitkan Palestin, tetapi apabila ia berkaitan dengan kepentingan Barat, mereka menjadi cepat dan tegas.

Lihat sahaja apa yang berlaku di PBB apabila membabitkan konflik Rusia-Ukraine. Majlis Keselamatan PBB mahupun Perhimpunan Agung PBB dikerah bersidang sekerap mungkin dalam usaha Barat untuk menekan Rusia. Mesyuarat negara G20 yang sedang berlangsung di Indonesia ketika ini digunakan oleh Barat untuk memperlihatkan kepada komuniti dunia terhadap usaha mereka menekan Rusia.

Begitu juga IMF dan banyak lagi agensi antarabangsa digunakan sewenang-wenangnya oleh Barat untuk menekan Rusia yang sememangnya adalah seteru utama mereka. Segala media utama Barat ketika ini telah berjaya memotretkan Rusia sebagai “aggressor“ dalam konflik Rusia-Ukraine. Tetapi dalam isu Palestin, semuanya diam membisu seolah-olah hilang taring dan kuku.

Sesungguhnya, apa yang berlaku di Palestin jelas lagi bersuluh diketahui komuniti dunia. Sebaliknya, selepas lebih 70 tahun pencerobohan regim zionis Israel ke atas Palestin, jelas menunjukkan bahawa jalan penyelesainnya hanya akan tercapai jika Barat tidak mengamalkan sikap “double standard“ selain kesungguhan dan kesatuan Dunia Islam untuk sama-sama memperjuangkan penyelesaiannya.

Dunia Islam perlu mengambil tanggungjawab besar apabila membabitkan isu Palestin. Sikap “double standard“ Barat tidak lagi perlu dipertikaikan kerana hanya Dunia Islam perlu melakukan perkara yang sewajarnya untuk membebaskan Palestin dan warganya daripada penjajahan berterusan rejim zionis Israel.

Selagi mana tiada penyatuan dan kesatuan dalam kalangan Dunia Islam, selagi itulah isu Palestin tidak nampak kesudahan. Percayalah, jika isu Palestin berjaya diselesaikan, isu dan konflik lain di negara-negara Dunia Islam akan berjaya diselesaikan dengan aman dan sejahtera.

Ketika ini akan muncullah sinar dan kebangkitan umat dan Dunia Islam di seluruh dunia, kebangkitan yang akan menjadikan Islam sebagai kuasa yang paling agung di seluruh dunia. Islam ketika ini akan dilihat sebagai simbol keamanan, perpaduan dan kesatuan seluruh umat manusia.

Islam Menyatukan Umat

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 22/4/2022

- Advertisement -