RM9.93 juta bantu peladang MADA terjejas banjir

- Advertisement -

PETANG ini (kelmarin) saya bersama MADA menyampaikan bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) kepada 5,931 peladang dari Wilayah 2 MADA Jitra, Wilayah 3 MADA Pendang serta Wilayah 4 MADA Kota Sarang Semut dengan jumlah bantuan sebanyak 8.63 juta ringgit dengan anggaran kerosakan seluas 8,241.61 hektar.

Saya berharap, bantuan wang ihsan daripada kerajaan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh petani dan peladang serta dapat memberi suntikan modal penanaman padi Musim Pertama 2022 yang ketika ini baru sahaja bermula.

- Advertisement -

TBTP ini diwujudkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sebagai bantuan khas kepada penanam-penanam padi yang menghadapi bencana luar jangka seperti serangan wabak, bencana alam dan lain-lain faktor yang tidak dapat dielakkan dan di luar kawalan kita. Di bawah TBTP, pesawah yang mengalami kemusnahan tanaman padi akibat banjir bakal menerima bantuan secara tunai sehingga RM1,800 per hektar dengan had maksimum sehingga 3 hektar.

Dalam hal ini, MAFI telah meluluskan secara keseluruhan peruntukan berjumlah RM9.93 juta di bawah TBTP kepada 6,887 peladang yang terjejas akibat bencana banjir dan padi rebah di Kawasan Muda sahaja pada bulan September dan November 2021 yang lalu, melibatkan kerosakan seluas 8,520 hektar.

MAFI melalui MADA telah dan akan terus melakukan usaha dan ikhtiar sehabis baik bagi memastikan kebajikan peladang-peladang di Kawasan Muda mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Ketika ini, MAFI dengan kerjasama Agrobank juga sedang mewujudkan satu skim perlindungan khusus berlandaskan prinsip shariah yang dinamakan sebagai Skim Perlindungan Takaful Agromakanan. Skim yang akan dilancarkan dalam sedikit masa lagi bakal melakar sejarah sebagai skim perlindungan pertama dalam sektor pertanian di negara bagi memenuhi keperluan komuniti agromakanan yang mengalami ketidaktentuan punca pendapatan akibat bencana alam. 

Manakala, sebagai langkah untuk meningkatkan kecekapan pengairan dan saliran di Kawasan Muda, pihak MADA telah mengambil tindakan jangka masa panjang melalui Projek Pembangunan Sistem Pengairan Tersier dengan merancang membangunkan 23 lagi blok yang tiada sistem pengairan tersier, yang akan memberi manfaat kepada 17,774 hektar kawasan penanaman padi di Negeri Kedah dan Perlis.

MADA juga akan membangunkan Projek Ladang Padi IR4.0 di bawah Projek Pembangunan RMKe-12 yang antara lain boleh menghantar notifikasi amaran bahaya kepada operator sekiranya risiko banjir dikesan dan tindakan awalan dapat diambil.

Saya yakin MADA akan sentiasa beriltizam serta terus maju kehadapan dalam menjadikan industri tanaman padi di Malaysia terus maju dan berdaya saing seiring dengan peredaran zaman.

Turut hadir dalam majlis ini Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh, Pengerusi MADA, YB Ahmad Tarmizi bin Sulaiman, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Kedah, YB Dato’ Hajah Halimaton Shaadiah Saad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, YB Azhar bin Ibrahim dan Pengurus Besar MADA,Tuan Haji Kamarudin Dahuli.

YB SERI DR RONALD KIANDEE
Menteri Pertanian dan Industri Makanan – HARAKAHDAILY 23/4/2022

- Advertisement -