Hindari menyombong diri dalam membina pengaruh

- Advertisement -

Nazhafah Diri & Integriti Melalui Juz 20

ALLAH SWT telah memberi peringatan kepada hamba-Nya agar bersedia dengan amalan yang baik dan tidak berperilaku buruk yang boleh menyebabkan terhalangnya seseorang itu untuk memasuki syurga. Golongan yang menyombong diri dan suka menyusahkan orang lain dengan berbuat perkara fasad tidak mendapat tempat yang istimewa disisi Allah di akhirat nanti, hanya orang-orang yang bertakwa akan menduduki tempat istimewa di syurga. Firman Allah SWT:

تِلۡكَ ٱلدَّارُ ٱلۡـَٔاخِرَةُ نَجۡعَلُهَا لِلَّذِینَ لَا یُرِیدُونَ عُلُوࣰّا فِی ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فَسَادࣰاۚ وَٱلۡعَـٰقِبَةُ لِلۡمُتَّقِینَ

Maksudnya: “Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa”. (Al-Qashas: 83)

- Advertisement -

Mengikut mufassirin, ayat diatas menerangkan bahawa kebahagiaan dan segala kenikmatan di akhirat kelak akan disediakan untuk orang-orang yang tidak takabur, tidak menyombongkan diri, dan tidak berbuat kerosakan di muka bumi seperti berlaku zalim, menyekat hak orang lain dan sebagainya. Bahkan orang yang mempunyai sifat takabur walaupun hanya sebesar zarah sahaja sudah disekat daripada memasuki syurga. Ini kerana sikap sombong dan takabur adalah sifat yang boleh memusnahkan iman dalam diri dan merosakkan hubungan baik dalam masyarakat. Sombong juga akan menjadikan seseorang itu tidak memaafkan orang lain apabila dipinta. Oleh itu, Rasulullah SAW telah memberi peringatan dalam hal ini melalui sabdanya:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan takabur”. (Riwayat Muslim)

Perkara-perkara yang biasanya menjadi punca kesombongan dan takabur sebagaimana yang dinyatakan di dalam Kitab Ihya’ Ulum Al-Din ada tujuh perkara iaitu; punyai ilmu pengetahuan yang tinggi, amalan dan ibadat yang lebih banyak, ada keturunan yang baik, keindahan dan kelebihan pada bentuk fizikal, harta kekayaan yang banyak, kekuatan tubuh badan dan kuasa yang dimiliki atau pengaruh yang menguasai.

Mereka yang memiliki sifat takabur lagi sombong, tidak akan memiliki sifat ikhlas yang menjadi dasar dan kunci setiap perbuatan mahupun ibadah yang dikerjakan. Sifat tersebut dapat membinasakan ibadah dan amal soleh yang dilakukan sehingga menjadi sia-sialah semua perbuatan yang telah dilakukan.

Penyakit sombong dan takabur ini hanya boleh disembuhkan dengan kesedaran diri sendiri orang berkenaan kerana penyakit tersebut berpunca daripada kondisi hatinya. Maka, dia perlu merenung asal kejadiannya serta menghisabi diri yang asalnya daripada tanah, lalu daripada setitik air mani yang hina. Setelah menempuh kehidupan di dunia ini, dia pasti akan mati dan terus dikuburkan lalu menjadi mayat dan hancur kembali menjadi tanah. Tiada guna untuk meluaskan pengaruh dikenali oleh semua orang serta disanjung jika disertakan dengan kesombongan diri. Di sisi manusia akan masyhur namun tidak di sisi Allah, tiada gunanya.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
20 Ramadhan 1443/22 April 2022 – HARAKAHDAILY 22/4/2022

- Advertisement -