Tradisi pukul gendang kejutkan bersahur terus kekal di Syria

- Advertisement -

DAMSYIK: Pemukul gendang yang mengejutkan umat Islam untuk bangun bersahur semakin pupus di seluruh dunia Islam, tetapi tradisi itu masih kekal di ibu negara Syria walaupun semakin ramai bergantung kepada telefon pintar.

Kira-kira satu jam sebelum azan berkumandang pada waktu subuh, pemukul gendang Ramadan yang dikenali sebagai Musaharati, berjalan kaki melalui jalan-jalan sempit untuk mengejutkan penduduk.

- Advertisement -

Mereka termasuk Hasan Al-Rashi, 60, seorang daripada 30 Musaharati yang masih tinggal di Damsyik. Suaranya memecahkan kesunyian malam di kota lama ibu kota, sambil menyanyi dan memukul gendangnya.

“Walaupun kemunculan telefon pintar dan teknologi lain, orang ramai masih suka mendengar suara Musaharati,” kata Hasan.

“Musaharati adalah sebahagian daripada adat dan tradisi penduduk Damsyik pada bulan Ramadan. Ia adalah warisan yang tidak akan kami tinggalkan,” katanya.

Ketika menjalankan tugas Musaharati, Hasan membawa rotan buluh di sebelah tangan dan gendang yang diperbuat daripada kulit kambing di tangan yang lain.

Musaharati memukul gendang untuk mengejutkan penduduk bangun untuk bersahur – Gambar AFP

Dia berjalan pantas dari rumah ke rumah, menggunakan tongkatnya untuk mengetuk pintu keluarga yang meminta khidmatnya.

“Bangun…bangun untuk sahur, Ramadan telah datang melawat kamu,” Hasan menyanyi.

Walaupun mereka menerima hadiah, Musaharati biasanya tidak mengharapkan ganjaran kewangan. Mereka kadang-kadang membawa beg atau bakul jerami untuk menyimpan makanan dan hadiah lain yang diberikan kepada mereka. Bagi Hasan, ini bukan soal hadiah percuma.

“Kami berasa gembira apabila keluar setiap hari. Kadang-kadang kanak-kanak mengikut kami dan meminta untuk memukul gendang,” katanya.

Menjelang azan subuh, Hasan meminta segelas air daripada seorang jirannya sebelum memulakan puasanya.

Hanya ada kira-kira 30 Musaharati di Damsyik – Gambar AFP

Musaharati berusia 51 tahun yang biasanya menemani Hasan setiap malam, juga memukul gendang dan menyanyi.

“Peralatan saya mudah, ia adalah suara saya, gendang saya dan kayu saya,” katanya yang memberitahu bahawa bapanya juga seorang pemain gendang Ramadan, menjalankan tugas Musaharati selama hampir suku abad.

Katanya, perang Syria selama lebih sedekad dan wabak Covid-19 tidak menghalangnya daripada meneruskan tugas itu.

“Saya akan terus mengejutkan orang ramai untuk bersahur selagi ada suara di kerongkong saya. Ini adalah tugas yang diwarisi daripada ayah saya, yang akan saya wariskan kepada anak saya,” katanya.

- Advertisement -