Masalah keluar Islam perlu ditangani secara menyeluruh

Seragamkan ketidakselarasan menerusi penggubalan atau pindaan enakmen berkaitan

Islam
- Advertisement -

SAYA tidak berhajat untuk memberikan respon secara khusus terhadap permohonan semakan kehakiman seorang wanita yang ingin keluar daripada Islam dan mahu memeluk agama lain kerana ia dikhuatiri akan mengganggu prosiding mahkamah terhadap kes berkenaan.

Cuma respon saya adalah berkenaan isu pengisytiharan keluar agama Islam secara umum.

Kita perlu jelas bahawa dalam agama Islam, murtad dianggap satu jenayah dan boleh dikenakan hukuman hudud. Justeru, ia tidak boleh diklasifikasi atas nama hak asasi atau kebebasan beragama sebagaimana yang difahami sesetengah pihak.

Soal kebebasan beragama ini terkandung dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, namun ada klausa yang menetapkan limitasi kebebasan tersebut pada Perkara 11(4) dan (5).

Kita perlu faham bahawa Mahkamah Persekutuan pada tahun 2018 telah memutuskan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk mengendalikan kes-kes murtad atau keluar agama Islam walaupun Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 ketika itu tidak mempunyai peruntukan yang ‘explicit’ terhadap pengisytiharan keluar agama.

Ia juga adalah keputusan penghakiman terhadap kes Lina Joy. Oleh itu, Mahkamah Syariah berhak membicarakan kes keluar agama sama ada mereka mempunyai peruntukan secara tersurat mahupun tersirat – meminjam istilah yang digunakan oleh Prof Mohamed Azam Adil – dalam enakmen negeri masing-masing.

Apa yang menjadi isu di sini adalah ketidakseragaman bentuk perundangan syariah di negeri-negeri sehingga mendorong isu ini tidak ditangani dengan baik.

Negeri Sembilan mempunyai set perundangan yang lebih lengkap dengan ‘procedural law’ atau tatacara tertentu bagi permohonan keluar agama. Ia dinyatakan dengan jelas proses istitabah atau penasihatan akidah kepada pemohon yang ingin keluar Islam.

Sabah memasukkan kesalahan keluar agama sebagai enakmen kesalahan jenayah. Negeri-negeri lain pula mempunyai peruntukan khusus terhadap “Pengisytiharan Status Agama”.

Beberapa negeri lain ada peruntukan terhadap “Percubaan Keluar Islam”, manakala ada negeri yang tiada peruntukan berkaitan.

Walaupun saya sebut tadi Mahkamah Syariah masih boleh membicarakan kes keluar agama meskipun tiada peruntukan enakmen yang jelas, namun ia menimbulkan kesukaran terhadap pendekatan, garis panduan serta proses penasihatan akidah yang wajar diambil oleh pihak berkuasa agama kemudiannya.

Seterusnya berkenaan keluar agama Islam. Kita masih perlu berhati-hati dengan pengistilahan yang digunakan kerana ada garis pemisah di antara istilah murtad dan keluar Islam. Sama tetapi tidak serupa.

Murtad memang jelas tiada kompromi. Namun, keluar Islam di Malaysia berlaku atas beberapa isu dan faktor yang berbeza.

Kebanyakannya berlaku kerana merit pengesahan agama si pemohon ini sejak daripada awal tidak sah oleh Mahkamah Syariah.

Namun, oleh kerana dalam Skim Pendaftaran Kes Mahkamah Syariah kes sebegini jatuh di bawah kod 043 iaitu ‘Permohonan Keluar Agama’, ia terus disatukan dengan maksud ‘murtad’.

Saya beri contoh dalam kes Siti Fatimah Tan Abdullah pada tahun 2009. Beliau berkahwin dengan warga Iran pada tahun 1999, dan selepas 4 bulan ditinggalkan tanpa berita.

Jadi, beliau tidak pernah menerima ajaran Islam secara sempurna, tidak pernah hidup sebagai seorang Muslim disokong dengan pernyataan saksi. Kes pengisytiharan keluar agama Fatimah Tan diluluskan di Mahkamah Syariah. 

Kesimpulannya, saya mengharapkan agar pihak berwajib dapat mengumpulkan para mufti dan pihak berkuasa agama negeri-negeri untuk duduk membincangkan permasalahan ini. Isu keseragaman enakmen ini memerlukan penggubalan dan pindaan di peringkat DUN, sudah tentu memerlukan nasihat dan perbincangan secara bersepadu daripada para mufti termasuklah pihak berkuasa agama negeri.

Pasukan Khas yang akan ditubuhkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga perlu turut merangkumkan perbincangan dan perbahasan terhadap isu keluar agama di Malaysia, selain isu ‘unilateral conversion’.

Saya juga mengharapkan agar Penubuhan Pusat Pemurniaan Akidah bagi proses istitabah dapat diperluaskan ke seluruh negara bagi mengatasi isu keluar agama.

Sekian, terima kasih.

SENATOR DATO’ USTAZ AHMAD YAHAYA
Ketua Ulamak
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 18/4/2022

- Advertisement -
- Advertisement -