KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan terima kasih di atas kenyataan Presiden Amanah yang mengesahkan bahawa PAS tidak mempunyai sebarang hubungan dengan parti pembangkang.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini sekali gus mengesahkan parti itu tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan parti-parti pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) dalam pendekatan ‘khemah besar’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Beliau juga menegaskan PAS sepanjang masa amat konsisten dengan pendirian mendukung dan memperkuatkan Kerajaan Persekutuan yang diterajui bersama oleh Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBS dan STAR.
“PAS amat yakin pendekatan penyatuan ummah yang boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputera adalah formula yang paling berkesan serta akan diterima oleh majoriti rakyat Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
PAS juga, katanya melalui pendekatan Politik Matang dan Sejahtera sentiasa komited dan sedia berbincang dan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15.
“Apa yang penting dalam era pasca pandemik ini adalah kepentingan rakyat dan negara diutamakan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu. – HARAKAHDAILY 18/4/2022