Jejas keharmonian awam dan kestabilan politik

Lompat parti dan faktor-faktor menyebabkannya mesti dikekang

- Advertisement -

TAN Sri Yang Di-Pertua, saya bersama-sama akan membahaskan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 yang berkaitan kebebasan  bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

- Advertisement -

Tan Sri Yang Di-Pertua,

Jawatan pemerintah tertinggi sangat penting untuk merealisasikan kewujudan sebenar sebuah kerajaan yang berdaulat. Oleh itu, pemerintah mesti diwujudkan dan dilantik untuk memimpin umat Islam kerana serta rakyat seluruhnya.

Antara tanggungjawab terbesar yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang Muslim adalah supaya mereka bersatu dengan cara berpegang kepada agama Allah S.W.T dan tidak berpecah atau bertelagah sesama sendiri. Kedudukan pemerintah di kalangan semua individu umat pula adalah umpama paksi pada sesuatu bulatan. 

Maka, jawatan sebagai pemerintah atau pemimpin adalah amat diperlukan demi kestabilan undang-undang dan keharmonian keadaan. 

Maka, kata kunci kepada pindaan ini dan pindaan yang lain adalah berdasarkan prinsip kestabilan politik dan pentadbiran negara. Kestabilan politik bagi sesebuah negara amat penting kerana ia memberikan kesan besar kepada ekonomi untuk terus berkembang dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Pindaan Perkara 10 ini memerlukan ketelusan dalam mentadbir, dasar dan amalan politik yang murni.

Saya ingin memetik kata-kata Imam al-Ghazali:

الدِّينُ أُسٌّ والسُّلْطَانُ حَارِسٌ وَمَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ

“Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang.”

(Rujuk al-Iqtisad fi al-I’tiqad, halaman 128)

Tan Sri Yang-dipertua,

Dalam situasi di mana parti yang diwakili oleh ahli politik tersebut telah menyimpang dari prinsip asal perjuangan, termasuklah bergelumang dengan rasuah dan salah guna kuasa, adakah wujudnya ruang bagi Ahli Parlimen tersebut yang setia dengan prinsip dan integriti untuk keluar dari parti itu, dan seterusnya menyertai parti lain yang lebih telus untuk mentadbir negara ini. 

Begitu juga halnya bagi parti-parti yang membentuk suatu gabungan, dan mengambil keputusan untuk menarik diri parti tersebut daripada meneruskan gabungan. Hal ini perlu dipertimbangkan sekiranya ia melibatkan isu-isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat yang turut mencetuskan situasi cemas di kalangan rakyat.

Saya ingin menegaskan bahawa jawatan yang diperoleh melalui undian pilihan raya adalah berkaitan dengan soal amanah, kejujuran, integriti dan berprinsip sebagai ahli politik. Justeru, persoalan timbul sama ada perlunya perletakan ahli yang berhormat itu sendiri dan seterusnya kerusi tersebut perlu diisytiharkan kosong bagi memberi laluan kepada pilihan raya. 

PAS sendiri pernah melalui detik-detik hitam dalam sejarah apabila sebahagian ahli yang berhormat keluar dari parti pada tahun 2015 dan seterusnya membentuk gabungan parti baru.

Sejarah di Malaysia memperlihatkan bahawa mekanisma yang diambil bagi melompat ke sesuatu parti adalah dengan mengisytiharkan diri telah keluar dari parti asal, dan kemudian menjadi Ahli Parlimen bebas. Setelah beberapa lama, barulah ahli yang berhormat akan memilih haluan melalui penyertaan keahlian dalam parti yang baru. Dalam langkah kerajaan menangani isu lompat parti ini, langkah ini harus dicegah dari diambil oleh ahli-ahli politik dari mana-mana parti sekalipun.

Saya bersetuju apabila langkah yang akan diambil dan seterusnya oleh kerajaan dengan mewujudkan akta khusus untuk akta lompat parti ini. Namun demikian akta Parlimen tersebut memerlukan definisi yang tepat, pelaksanaan yang terang, dan penjelasan yang konkrit bagi mengelakkan kekeliruan, penyalahgunaan kuasa, dan keputusan berat sebelah sehingga menyebabkan ketempangan yang lebih parah dalam pengamalan demokrasi di negara kita. 

Hal ini sangat penting untuk mengelakkan pihak-pihak yang berpentingan mencabar di mahkamah dan akan menimbulkan polemik dan permasalahan yang lebih rumit sehingga menjejaskan keharmonian dan kestabilan politik negara. 

Kerajaan juga perlu meneliti agar pindaan ‘Perkara 10- Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan’ini yang seperti mana dianggap oleh sesetengah pihak seperti memberi cek kosong kepada kerajaan memerintah untuk mengawal penyertaan Ahli Parlimen dana DUN dalam parti politik; dalam maksud akan menyekat ahli politik yang lantang dan mengkritik kerajaan.

Akhir sekali, Tan Sri Yang Di-Pertua, saya mohon menyokong.

Sekian terima kasih.

YB USTAZ AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik

Perbahasan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022, Isnin 11 April 2022 – HARAKAHDAILY 12/4/2022

- Advertisement -