Ustaz Mujibur seru banyakkan sedekah Ramadan

- Advertisement -

MARAN: ADUN Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak menyeru umat Islam mengambil peluang di bulan Ramadan ini berlumba-lumba untuk berbuat kebajikan terutamanya bersedekah kepada golongan yang memerlukan. 

“Dengan membantu golongan yang kurang bernasib baik ini juga,  dapat mengajar kita erti bersyukur bagi yang punyai rezeki lebih. Manakala bagi golongan yang susah dan tidak bernasib baik pula ianya mengajar kita supaya terus bersabar. 

- Advertisement -

“Semuanya itu akan diganjari pahala yang berlipat kali ganda terutama dalam bulan puasa ini,”katanya ketika berucap pada penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf anjuran Masjid Al-Furqan FELDA Kampung Awah, di sini kelmarin.

Ustaz Mujibur juga berkata, dalam memasuki fasa endemik COVID-19 ini masjid hendaklah kembali diimarahkan oleh ahli kariah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Walaupun saf solat jemaah telah kembali dibenarkan rapat, namun kita juga perlu sentiasa berjaga-jaga dan jangan pula leka dengan keadaan sekarang ini, pemakaian ‘mask’ masih lagi perlu terutama ketika berada di tempat awam,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Furqan, Rahim Ahmad berkata seramai 41 ahli kariah telah dipilih menerima sumbangan tersebut yang terdiri daripada pelbagai golongan termasuk ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Setiap penerima akan mendapat pek bahan mentah makanan harian seperti beras, minyak masak, susu dan lain-lain.

“Selain itu juga, ADUN Chenor turut memberi sumbangan iringan dengan jumlah sama iaitu 40 pek, yang merupakan pek kuih muih untuk raya, dan terdahulu pada ini.

“Di awal Ramadan baru-baru ini beliau telah menyumbang RM 500 kepada masjid ini untuk majlis berbuka puasa,” jelasnya.

Sementara itu bagi penerima sumbangan kategori ibu tunggal, Sabrinnah Mohamed Lee, 50,  berkata beliau sangat bersyukur menerima rezeki dari pihak masjid dan ADUN.

“Alhamdulillah, dengan sumbangan yang terima ini, ia sangat-sangat membantu terutama bagi ibu tunggal yang macam saya, hanya mencari rezeki sendiri untuk menanggung keluarga,” katanya.

Manakala itu pula, bagi Din Karim, 58, wakil penerima bagi anaknya yang OKU, turut melahirkan rasa gembira dan syukur di atas sumbangan yang diterima.

“Masjid ini dan ADUN sentiasa memberi sumbangan kepada anak saya, semoga sumbangan kebajikan ini sebegini dapat terus dilakukan pada masa akan datang,” ujarnya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang Dipertua PAS Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman, wakil Pengurus FELDA Kampung Awah, Amirul Izwan Md Noor.

Juga Pengurus Kilang Getah FGV Kampung Awah, Zul Hanif Daiman serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKPP) FELDA Kampung Awah, Mazlan Abd Rahman. – HARAKAHDAILY 12/4/2022

- Advertisement -