19,500 hektar HSK Kelantan dibenar diusaha hasil RMK-12

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Sebanyak 19,500 hektar Hutan Simpan Kekal (HSK) di Kelantan diberi kelulusan bagi melaksanakan pengusahasilan hutan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, keputusan itu dibuat pada Majlis Tanah Negara pada 8 September lalu di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut beliau msyuarat tersebut setuju untuk menetapkan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) iaitu sebanyak 19,500 hektar yang melibatkan 3,900 hektar dalam tempoh setahun.

- Advertisement -

“Majlis Tanah Negara dalam mesyuarat kali ke-77 yang diadakan 8 September 2020 setuju meluluskan CTT bagi RMK12 sebanyak 19,500 hektar.

“Manakala pembahagian setiap tahun bagi tempoh RMK-12 dari tahun 2021 sehingga 2025 sebanyak 3,900 hektar setahun,” katanya menjawab soalan Saiful Adli Abu Bakar (PAS-Salor) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Ahmad juga berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Kelantan menggunakan pemantauan imej satelit bagi mengawal penebangan hutan secara haram.

“Kawalan juga dilakukan menerusi Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS) termasuk pemantauan menerusi dron dan rondaan darat secara berkala di lokasi panas.

“Sekiranya didapati ada penceroboh mereka akan ditangkap untuk dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Sebelum itu menjawab soalan Adun Salor, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, hanya 30 peratus daripada kelulusan CTT diberi khusus untuk tanaman durian.

Jelas beliau keputusan tersebut merupakan peraturan yang ditetapkan Jabatan Perhutanan Kelantan untuk menjalankan pertanian. – HARAKAHDAILY 31/3/2022

- Advertisement -