OIC digesa segera selesaikan isu kemanusiaan di Afghanistan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) digesa mengambil pendirian segera untuk menyelesaikan isu kemanusiaan di Afghanistan yang amat kritikal ketika ini.

Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, OIC juga sewajarnya memberikan pengiktirafan penuh kepada Kerajaan Afghanistan bagi memastikan segala bantuan kemanusian dapat disalurkan melalui pelbagai pihak.

- Advertisement -

“Saya berharap agar Wisma Putra dapat menjelaskan pendirian yang sama dalam hal ini serta menyampaikan gesaan tersebut kepada OIC.

“Gesaan saya ini bertitik tolak kepada beberapa sandaran utama, pertamanya, isu kemanusiaan ini mesti diselesaikan secepat mungkin bagi memastikan nasib rakyat Afghanistan terbela.

“Lebih-lebih lagi negara tersebut sedang dilanda kemunduran pasca tempoh peperangan, bahkan (berlaku) isu kebuluran di mana hampir 8.5 juta penduduk Afghanistan mengalami kebuluran akibat daripada kemiskinan yang amat meruncing pada ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu Sidang Media bagi menggesa OIC menyelesaikan isu kemanusiaan di Afghanistan, di Parlimen, hari ini.

Menurut Nuridah, dalam kunjungannya ke Kabul, Afghanistan bersama Pengerusi PASRELIEF Mohd Yusni Bin Mat Piah, serta badan bukan kerajaan (NGO), beliau sendiri melihat dan mendengar luahan hati rakyat Afghanistan.

Katanya, mereka amat memerlukan bantuan daripada negara luar untuk keluar dari kepompong kehidupan yang teramat-amat miskin.

Tambahnya, langkah itu selaras dengan konsep bantu-membantu yang ditekankan dalam Islam sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Maidah ayat 2 yang menuntut umat Islam bertolong-menolong dalam perkara kebaikan dan taqwa.

Katanya lagi, pengiktirafan OIC terhadap Kerajaan Afghanistan berpotensi membuka ruang diplomatik yang lebih erat antara negara-negara Islam khususnya dari sudut ekonomi, pentadbiran, keselamatan dan sebagainya.

Tindakan pengiktirafan itu katanya, sekali gus dapat menyaluran sokongan dan bantuan yang lebih konstruktif dapat terhadap Afghanistan.

“Ketiga, pengiktirafan kolektif di antara negara-negara Islam dengan Kerajaan ini memberikan suatu signal kepada kesepaduan serta kesepakatan negara-negara Islam dalam mendepani konflik dan permasalahan yang melanda Afghanistan ketika ini.

“Oleh sebab itu, peranan OIC sangat ditagih bagi memastikan hasrat ini dapat direalisasikan dengan sempurna,” katanya.

Nuridah juga berharap agar Wisma Putra dapat mengambil perhatian terhadap gesaan yang dikemukakan itu.

Katanya, sokongan daripada pelbagai sudut sama ada dalam bentuk bantuan kemanusiaan serta pembangunan institusi di Afghanistan wajar dijadikan agenda utama negara-negara Islam.

“Kita semua tanpa mengenal sempadan bangsa dan agama sewajarnya lebih bersifat proaktif dan mengambil satu langkah ke hadapan dalam perkara ini, bukannya sekadar menjadi pemerhati atau pemberi kritikan semata-mata,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/2022

- Advertisement -